Syahruddin Awang Ahmad berkata Umno tidak perlu berundur sebaliknya menjadi rakan strategik kepada blok tempatan.

Syahruddin Awang Ahmad berkata, landskap politik negeri itu semakin dipengaruhi sentimen tempatan yang dibuktikan pada PRN tahun lalu sekali gus menuntut Umno menilai semula kedudukannya jika mahu kekal relevan.
“Mungkin tidak perlu berundur tetapi mengendurkan tuntutan dominasi dalam politik Sabah.
“Pendekatan itu membolehkan Umno bergerak sebagai rakan strategik kepada blok tempatan tanpa dilihat sebagai ‘ancaman luar’ dalam arena politik Sabah,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada FMT.

Katanya, Umno perlu memperkukuh kerjasama dengan parti tempatan serta menawarkan agenda pembangunan lebih inklusif dan realistik.
Beliau mengulas sama ada Umno wajar berundur dari Sabah selepas parti itu tidak lagi dominan, merujuk keputusan PRN lalu menyaksikan hanya menang lima kerusi DUN.
Ia keputusan terburuknya sejak melebarkan sayap ke Sabah pada 1991.
Isu dominan dibangkitkan Naib Presiden Umno Johari Ghani, Sabtu lalu, yang meminta ahli menerima hakikat parti itu tidak lagi mempunyai kuasa mutlak.
Menyentuh isu itu, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak dipetik berkata, strategi kerjasama dan hala tuju jelas penting menjamin masa depan parti berkenaan termasuk dalam konteks di Sabah.
Arvin Tajari dari Universiti Malaysia Mara (UiTM) pula berkata, Umno Sabah masih mempunyai kekuatan akar umbi walaupun penolakan terhadap parti itu semakin ketara sejak 2018.

Menurutnya, keputusan sama ada Umno perlu kekal atau berundur daripada persada politik Sabah perlu dinilai secara cermat.
“Umno Sabah perlu lebih berani menonjolkan suara pelapis, khususnya Pemuda dan Puteri dalam arus politik negeri (jika ingin kekal).
“Suara kelompok itu tidak cukup kedengaran dalam medan politik Sabah, sedangkan ia penting bagi menunjukkan parti berkenaan masih mempunyai generasi baharu,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.