`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, August 11, 2026

Hassan Karim sokong titah Agong siasat laporan RCI TH ‘hingga lubang cacing’

 Ahli Parlimen Pasir Gudang turut gesa peguam negara, pihak pendakwaan dan AGC ambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab atas kerugian kira-kira RM10 bilion.

hassan karim
Hassan Karim turut menggesa siasatan susulan dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah seperti dilaporkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya siasatan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dilakukan ‘sehingga ke lubang cacing’.

Beliau menggesa peguam negara, pihak pendakwaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kerugian kira-kira RM10 bilion ditanggung TH.

“Saya berharap peguam Negara dan pihak pendakwaan, termasuk AGC, jangan main-main. Kita (Ahli Parlimen) bahas di Dewan Rakyat dari pagi sampai malam dan kita mahu melihat perkara seperti yang disebut.

“Saya bersetuju dengan saranan Agong supaya siasatan dibuat sampai ke lubang cacing,” katanya ketika membahaskan Laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat.

Hassan berkata siasatan perlu melibatkan beberapa individu penting dalam pengurusan tertinggi TH termasuk bekas pengerusinya yang memegang jawatan antara 2014 hingga 2018, ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai kewangan (CFO), ahli lembaga pengarah serta pegawai kanan pengurusan TH.

“Mesti ada orang yang perlu disiasat. Jika terdapat kes dan bukti yang mencukupi, mereka perlu didakwa di mahkamah.

“Jika kesalahan dapat dibuktikan, mereka perlu dipenjarakan kerana laporan RCI TH telah menunjukkan bahawa TH menanggung kerugian sebanyak RM10 bilion.

“Saya tidak mahu melindungi sesiapa. Mereka yang perlu disiasat ialah bekas pengerusi TH ketika itu, CEO, CFO, ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan pengurusan TH. Jangan hanya pegawai kecil atau pegawai rendah yang disiasat. Siasatan perlu secara berjemaah pengurusan TH. Jika tidak, siasatan susulan RCI ini hanya akan menjadi sia-sia,” katanya.

Beliau turut membangkitkan laporan kewangan TH bagi 2017 yang didedahkan dalam RCI, apabila institusi pengurusan haji itu dilaporkan mencatatkan keuntungan RM3.4 bilion, sedangkan audit kemudiannya mendapati ia sebenarnya mengalami kerugian RM1.4 bilion.

“Ini merupakan satu kesalahan. Terdapat banyak lagi persoalan berkaitan laporan kewangan 2017 sahaja. Apakah pelanggaran akta yang dilakukan pengurusan TH sehingga ia boleh dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah?

“Di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Seksyen 22(3), TH dilarang membayar dividen atau hibah jika asetnya berkurangan berbanding liabilitinya. Persoalannya, apakah tindakan undang-undang yang sepatutnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab? ” soalnya.

Hassan berkata sekiranya terdapat perbuatan memalsukan atau mengubah akaun dengan niat tertentu, perkara itu perlu disiasat dan ditentukan melalui proses undang-undang.

Beliau turut menggesa siasatan susulan dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah seperti dilaporkan dalam RCI berkenaan. -  FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.