`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 11, 2024

Lari ada tempat, lari tiada tempat

 

Mohsin Abdullah

Semasa saya menulis artikel ini Florida antara negeri paling besar di Amerika Syarikat sedang membuat persiapan menghadapi taufan Milton yang kata pakar mempunyai potensi menjadi ‘one of the most devastating storms on record’.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk berpindah. Ribuan akur. Memerperkuhkan kediaman yang ditinggalkan sebaik mungkin sebelum berangkat keluar mencari perlindungan di luar Florida. Beberapa jam sebelum Milton melanda pegawai kerajaan menasihati penduduk yang belum pindah berbuat demikian. 

There is still time. No one has to die in this,
 kata mereka.

Bagaimanapun, golongan yang belum berpindah punya sebab tersendiri. Bukan kerana degil mahupun tak ikut arahan. Sebaliknya tidak mampu dan tidak terdaya. Untuk mendapatkan petrol bagi kenderaan mereka untuk melarikan diri semakin susah. Malah mustahil. Bekalan di kebanyakan tempat terputus. Begitu juga untuk mendapatkan gas bagi kereta yang menggunakan bahan itu. Mereka tidak yakin boleh sampai ke destinasi dengan kandungan tangki kenderaan sedia ada.

Mereka bimbang terkandas atas jalan dalam keadaan Milton menghampiri pantas. Umum tahu keadaan sebelum taufan mendarat. Milton belum tiba tetapi cuaca sudah semakin mengganas.

Lalu ramai yang memutuskan tekad untuk kekal di kediaman masing-masing yang sudah diperkukuhkan dengan tampalan papan, papan lapis, dan zink. Harapannya langkah itu boleh mengurangkan impak. Selain itu, mereka hanya boleh tunggu dan doa ‘to ride out the storm’. Tetapi risiko tetap tinggi.

Di Lubnan rakyat juga melarikan diri. Bukan daripada bencana alam yang ganas tetapi bencana dicipta manusia yang lebih ganas. Israel terus membedil dengan segala peralatan senjata serba canggih dicipta untuk membunuh.

Jumlah korban semakin meningkat. Yang melarikan diri juga semakin ramai. Tidak seperti di Florida. Tidak ada amaran awal dikeluarkan. Israel menggila cepat dan pantas. Orang muda dan tua, lelaki, wanita serta kanak kanak. Membawa barangan yang sempat dicapai dan memulakan perjalanan mencari perlindungan.

Yang punya kenderaan memberi tumpang kepada rakan taulan. Kenderaan sarat dengan manusia dan barangan mereka. Yang lain berjalan memikul apa yang terdaya.

Kalau di Florida penduduk yang melarikan diri sedang menghadapi bencana besar menjelang tiba. Rakyat Lubnan sudah dan sedang menghadapi bencana semasa melarikan diri seperti dikatakan tadi. Serangan udara Israel terus dilancarkan semasa rakyat Lubnan cuba melarikan diri. Ramai terkorban. Yang selamat meneruskan perjalanan seboleh mungkin apabila serangan dihentikan. Tetapi tidak lama sebelum serangan dilancar semula lebih kerap.

Mereka menuju Syria yang sendirinya bukan tempat selamat. Malah kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi yang membuat tinjauan di Beirut, ratusan ribu menjadi mangsa dalam beberapa hari lalu. Beliau mengulangi rayuan agar gencatan senjata dikuatkuasakan segera demi kemanusiaan. Kita tahu beliau bercakap kepada dinding.

Benjamin Netanyahu sudah pun berteriak ‘Lubnon akan menyaksikan kemusnahan dan penderitaan yang terjadi di Gaza jika rakyat Lubnan tidak menyingkirkan Hizbullah’. Jelas ditolak White House. 

We do not want to see Lebanon turned into another Gaza. That is not what we want to see,
 kata jurucakapnya Karine Jean Pierre. Memang sedap didengar. Apa pun kita tahu kata-kata itu tidak membawa makna. Apa yang dilakukan AS untuk menghentikan genosid Israel di Gaza? Masih mahu menyuarakan ketidaksetujuan akan hasrat Netanyahu di Lubnan?

Beberapa hari lalu Joe Biden bertemu Netanyahu di White House. Pertemuan pertama mereka dalam masa dua bulan. Selama dua bulan itu gambaran yang dipaparkan kepada dunia ialah ada ketegangan hubungan AS-Israel kerana Biden dilihat semakin tidak berkenan dengan cara Netanyahu mengendalikan masalahnya di Gaza.

Namun, pada pertemuan di White House tempoh hari Biden menegaskan sokongan negaranya kepada Israel tetap kuat dan memberi jaminan ‘iron clad support to Israel’. Biden yang tidak akan mempertahankan jawatan pada pilihan raya presiden bulan depan turut menyatakan naibnya Kamala Harris yang mahu menjadi presiden bersependapat dengannya. Tidak perlu menjadi pakar dasar luar Amerika untuk tahu siapa calon yang berhasrat duduk di White House tidak mampu kehilangan sokongan lobi Israel terutama ketika pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, portal NDTV World memetik Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant bercakap pula mengenai Iran. Beliau berikrar ‘our attack on Iran will be deadly, precise and surprising’.

Berbalik kepada apa dilihat Grandi, pegawai tertinggi UNHCR yang disebut tadi semasa berada di Lubnon dan juga Syria baru-baru ini. Kata beliau dua minggu serangan udara Israel membunuh ratusan dan memaksa lebih sejuta rakyat Lubnan melarikan diri.

Mereka menuju Syria tetapi jalan di perbatasan Syria-Lubnan sudah pun dihancurkan serangan Israel dan kata Grandi mangsa terpaksa cuba menyeberangi dengan berjalan kaki walaupun laluan sudah dirosakkan.

Taktik yang digunakan Israel di Lubnan sama dengan apa digunakan di Gaza. Mengusir rakyat sampil meneruskan serangan. Semasa anda membaca artikel ini pasti taufan Milton sudah mendarat di Florida dengan kebengisan dan kekuatannya. Tak kira jika ia akan kelak dikategorikan sebagai ribut tahap lima, empat atau tiga. Tetap bahaya. Harap tidak ada kehilangan nyawa. Yang pasti harta-benda akan musnah.

Namun, taufan Milton seperti apa juga bencana alam akan reda juga akhirnya. Ini kepastian. Ketika itu rakyat Florida akan tampil ‘to pick up pieces’ dan cuba mulakan hidup baharu.

Di Lubnan dan Gaza keganasan Israel tidak akan reda. Ini juga satu kepastian. Malah bertambah ganas. Rakyat Lubnan dan Gaza tidak ada ‘pieces to pick up from’. Sedih? Itu istilah yang amat lembut untuk menggambarkan apa dilalui mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT,

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.