`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 4, 2024

Bila Khazanah dan PNB ‘berfesyen’

Mohsin Abdullah

Nampaknya di Malaysia sekarang musim minta maaf. Eloklah. Tak payah tunggu Hari Raya nak menyusun sepuluh jari meminta maaf. Tempoh hari Najib Razak mohon maaf berhubung skandal 1MDB. Dua hari lalu suami isteri yang dikatakan ikon fesyen tempatan, Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar tampil mohon maaf. Susulan kerugian ditanggung Khazanah Nasional Berhad yang lazim dipanggil Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad atau PNB.

“Sebagai dua individu yang menguruskan syarikat ini (FashionValet Sdn Bhd atau FV), ini tanggungjawab kami dan hakikatnya kami telah mengecewakan pelabur. Kami kecewa dengan diri sendiri dan kesal dengan penyudahan ini. Kami benar-benar minta maaf,” kata mereka menerusi hantaran di Instagram. Panjang lebar ‘on what went wrong’ dan kegagalan mereka menyediakan syarikat menghadapi ‘rainy days’. Saya tidak bercadang ulangi dengan ‘detail’ di sini apa yang telah mereka katakan.

Mereka juga mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam syarikat. Vivy ialah ketua pegawai eksekutif FV dan Fadzaruddin pengarah eksekutif FashionValet Group. Memadaikah minta maaf dan letak jawatan? Terpulang pandangan masing masing.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil menggesa Khazanah dan PNB menjelaskan kerugian yang mereka alami memandangkan ia melibatkan dana awam. Ya kata kuncinya ‘dana awam’.

Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang FV dengan hanya RM3.1 juta setelah masing-masing pada mulanya melabur RM27 juta dan RM20 juta. Pada hemat saya jumlah kedua-dua pelaburan besar walaupun zaman ini orang bercakap mengenai bilion-bilion. Dan saya ulangi kata-kata Fahmi. Ia melibatkan dana awam. Ertinya wang rakyat.

Khazanah menyifatkan pelupusan pegangan sahamnya dalam FV adalah ‘langkah keluar bertanggungjawab untuk mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong syarikat itu ke arah trajektori pertumbuhan baharu’. Ertiya untuk FV mendapat suntikan modal segera.

Kata PNB pula pelaburan keseluruhannya disalurkan ke dalam FV bagi membiayai rancangan pertumbuhannya dan ‘bukan kepada mana-mana pemegang saham sedia ada termasuk pengasasnya’.

Dan PNB turut memberitahu pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari – bukan dana amanah saham bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

Menurut Kementerian Kewangan Khazanah melabur dalam FV pada 2018 sebagai ‘sebahagian usaha ketika itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapat pendedahan dalam sektor e-dagang yang pesat berkembang’.

PNB pula kata Kementerian Kewangan pada masa sama ‘mahu menyokong syarikat runcit digital milik Bumiputera yang sedang maju dan membantu syarikat- syarikat ini menjadi platform jualan serantau bagi jenama Malaysia’.

Pada pandangan saya jika mengambil kira apa yang dikatakan oleh Kementerian Kewangan kedua-duanya – Khazanah dan PNB – bertindak mengikut objektif dan matlamat penubuhan mereka.

Khazanah ialah dana kekayaan berdaulat kerajaan Malaysia dan ia diamanahkan membuat pelaburan bagi menghasilkan nilai mampan untuk Malaysia. Visi dan misi PNB pula ialah untuk menjadi institusi pelaburan bertaraf dunia dan meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia demi kemakmuran negara.

Harapan saya semua perkiraan telah dibuat dengan teliti sebelum dan semasa pelaburan dibuat termasuk kajian dan penyelidikan rapi ke atas syarikat yang menerima pelaburan. Yakni benar-benar yakin akan kemampuan syarikat dan juga yakin akan mendapat pulangan serta faedah disasar. Kita tahu banyak syarikat tempatan yang dahagakan pelaburan. Apatah lagi daripada Khazanah dan PNB. Harap yang dipilih sesungguhnya syarikat yang betul-betul ‘deserving’.

Kata PNB pelaburan pada 2018 itu dilakukan ‘selepas melalui proses penilaian terperinci dan usaha wajar di mana ketika itu FashionValet dijangka mencatat kadar pertumbuhan hasil tahunan sebanyak 60% bagi tempoh tiga tahun berikutnya’. Saya kira penilaian terperinci juga dibuat oleh Khazanah.

Apa pun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mulakan siasatan berhubung isu kerugian ini. Satu langkah yang bagi saya mesti dialu-alukan dan disambut baik.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Sekali lagi ‘dana awam’ disuarakan.

Dan kata beliau lagi: “Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola.” Benar – sememangnya banyak persoalan yang memerlukan jawapan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.