`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 6, 2024

Motac rancang tubuh pasukan petugas khas tangani isu warga asing berniaga

 

Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal membangkitkan isu pelancong China membuka perniagaan di kawasan diwakilinya itu. (Gambar Wikipedia)

PETALING JAYA
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) merancang menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu perniagaan dan pengangkutan termasuk agensi pelancongan yang diusahakan oleh warga asing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata, pasukan yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri itu juga akan membanteras kegiatan sewaan lesen perniagaan oleh warga tempatan kepada warga asing.

Tambahnya, pasukan itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Jabatan Laut Malaysia, polis dan agensi lain yang berkaitan.

“Isu pembukaan perniagaan oleh warga China di Semporna berkaitan dengan penyalahgunaan visa. Ahli Parlimen Semporna (Shafie Apdal) telah beberapa kali menyampaikan perkara ini kepada saya, dan Motac telah memaklumkannya kepada Pejabat Imigresen Semporna untuk tindakan segera.

“Motac juga menggesa tindakan tegas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Keselamatan Pelancong Daerah Semporna,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 pada peringkat dasar dalam Dewan Rakyat, lapor Bernama.

Terdahulu dilaporkan Jabatan Imigresen menahan 61 warga China dan Filipina yang bekerja secara haram di pusat peranginan dan pulau sekitar Semporna.

Ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat bulan lepas, Shafie meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelancong China yang dikatakan mengambil kesempatan membuka perniagaan sehingga menjejaskan mata pencarian pengusaha tempatan.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila aduannya kepada pihak berkuasa belum mendapat perhatian sewajarnya, meskipun keadaan semakin meruncing. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.