Buat sekian lama, Peter Cklamovski (sebut che-kla-movski) lebih dikenali sebagai pembantu setia lebih sedekad kepada Ange Postecoglou – ketua jurulatih pasukan kebangsaan Australia dalam Piala Dunia 2014 di Brazil, juara Piala Asia 2015 di halaman sendiri dan seterusnya menjuarai Liga J1 Jepun bersama Yokohama F. Marinos pada 2019.
Menyusuli perpisahan dengan Postecoglou yang mengemudi Celtic dalam Liga Perdana Scotland dari 2021-2023 dan seterusnya Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana Inggeris hingga kini, kerjaya Cklamovski, 46, selaku pengurus hanya bermula bersama kelab Liga J1 Shimizu S-Pulse pada 2020 yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-16 daripada 18 pasukan untuk terselamat daripada penyingkiran.
Ini diikuti oleh perpindahannya ke Liga J2 selama tiga musim dengan mengemudi peningkatan beransur-ansur Montedio Yamagata di tangga ketujuh pada 2021, keenam pada 2022 dan kelima pada 2023. Kembali ke liga J1 sesudah itu, dia memacu FC Tokyo ke tangga ketujuh musim 2024 yang baru berakhir.
Mungkin kerana itu, pengumuman Cklamovski selaku ketua jurulatih baharu Harimau Malaya pada Isnin tidak disambut dengan keghairahan ketara ketika ramai yang masih tertanya-tanya mengenai senarai kejayaannya.
“Menyediakan asas adalah kerja keras dalam bola sepak. Percayakan apa yang anda lakukan (kerana) proses di sebalik metodologi yang anda wujudkan akan membawa kepada kejayaan,” katanya dalam satu temu bual dengan Comparisonator pada 24 Jun lalu yang boleh ditonton melalui YouTube.
Teringat pula kisah seorang jurulatih sebuah kelab dalam Liga Malaysia musim 2023 yang menerapkan pendekatan ‘Trust the Process’. Hanya enam bulan selepas memperkenalkannya, dia dipecat kerana majikannya dan penyokong tidak sabar mahukan kejayaan segera.
Agak menghairankan juga selain menggariskan misi utama untuk Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2027 — Malaysia akan membuat perhitungan dengan Vietnam, Nepal dan Laos dalam pusingan ketiga kelayakan dari 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026 — di samping memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pula menyatakan tempoh kontrak Cklamovski.
Apakah kehadirannya bermula 1 Januari depan sekadar memanaskan kerusi ketua jurulatih untuk diisi calon lain kemudian atau FAM — tidak seperti Perak FC yang enggan bersabar dengan proses yang cuba diterapkan Lim Teong Kim — lebih percayakan perancangan jangka panjang?
“Membentuk sebuah kelab untuk menurutkan corak bola sepak yang dimahukan jurulatih adalah sukar. Mengambil langkah-langkah yang betul dalam perjalanan ini, menyesuaikan pemain-pemain dengan stail permainan baharu dan mendapatkan pemain-pemain yang bagus adalah elemen penting dalam peningkatan FC Tokyo,” kata Cklamovski dalam temu bual Comparisonator itu.
Malah, kesimpulan yang dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Comparisonator, Tarkan Batgun, hasil temu bual itu ialah elemen berkenaan menjadi kunci buat Cklamovski ketika Montedio Yamagata hampir dinaikkan ke Liga J1 pada 2022 dan mencaturkan kebangkitan FC Tokyo daripada hampir diturunkan divisyen pada pertengahan musim 2023 ke tangga keenam pada pertengahan musim 2024.
Dalam pada itu, ia harus sesuatu yang mengujakan untuk mengetahui falsafah bola sepak Cklamovski yang dikongsikannya ketika baru hendak memulakan tugasnya bersama Shimizu S-Pulse dalam Liga J1 pada musim 2020.
“Saya mahu terbitkan keterujaan penyokong. Saya lebih menekankan kepada gaya bola sepak menghiburkan yang pantas dan agresif dengan mentaliti untuk menjaringkan gol, baik ketika menguasai bola atau tanpanya,” katanya ketika itu.
Sama ada falsafahnya itu akan kekal ketika membimbing Harimau Malaya nanti akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diikuti.
Ada juga dilaporkan Cklamovski lebih gemar menggunakan formasi 4-3-3 bertahan ketika bersama FC Tokyo yang berhasil memberikan mereka 27 kemenangan dengan pendekatan berkenaan musim ini — antaranya menewaskan kelab-kelab gergasi seperti Cerezo Osaka, Vissel Kobe, Yokohama F Marinos dan Urawa Reds.
Ditemu bual Adamo De Nigris untuk Optus Sport pada hari terakhir Liga J1 musim 2024 pada 8 Disember lalu, Cklamovski yang dilahirkan di Sydney menyerlahkan keyakinan selaku jurulatih kelahiran negara kanggaru itu yang dirasakannya kurang mendapat pengiktirafan sepatutnya.
Anda seorang daripada senarai makin panjang jurulatih dari Australia yang kita lihat berjaya di Jepun dan di luar negara. Apakah anda rasa ini akan jadi satu kelaziman pada masa depan — jurulatih Australia berkelana ke luar negara dan menghasilkan kerja yang baik? Itu soalan daripada De Nigris.
“100%. Saya benar-benar percayakan kemampuan kami selaku jurulatih Australia. Ada semangat luar biasa, ada mentaliti dan ada kepercayaan dalam diri kami. Saya fikir ada masa depan mengujakan untuk jurulatih Australia,” katanya.
Ditanya langkah berikut buatnya, Cklamovski menjawab begini: “Ke mana juga haluan saya selepas ini, ia akan didorong oleh cita-cita, sokongan yang saya harapkan dan di mana kami (bersama barisan pembantunya) boleh mengambil langkah-langkah untuk mencapai impian dan meninggalkan impak.
“Ke Eropah? Belum lagi. Australia? Hanya untuk bercuti,” katanya dengan membendung dirinya daripada tersasul menyebut Malaysia sebagai destinasi berikutnya. Pengumuman FAM mengenai pelantikannya pada Isnin menamatkan teka-teki itu. Ia harus sesuatu yang menarik apabila Cklamovski menyebut mengenai pilihannya ke Kuala Lumpur sebagai ‘langkah-langkah untuk mencapai impian’.
Menurut kenyataan FAM, Cklamovski hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan mantap yang bertujuan memastikan pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya mendapat tunjuk ajar sebaik-baiknya. Ini diiringi harapan agar kemampuan dan kemahiran mereka dalam perlawanan antarabangsa dapat ditingkatkan.
Rasanya ramai yang maklum bahawa seperti Pau Marti Vicente dan Kim Pan Gon sebelumnya, kedua-duanya turut memasang cita-cita untuk kesudahannya dikecewakan kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada badan induk itu dan juga kelab yang enggan melepaskan pemain terbaik mereka.
Tidak berbeza, Cklamovski juga hendaklah diberi sepenuh sokongan, dibekalkan pemain-pemain terbaik dan perancangannya diturutkan atau sebagai jurulatih yang tidak memiliki sepasang tangan ajaib, impiannya hanya akan tinggal demikian.- FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.