`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 17, 2024

Kenapa kita pula kena beralah?

 

ronasina

Dulu waktu kecil bila kita bergaduh berebut barang permainan dengan adik kita, mak akan marah kita: “Kau ni bagilah adik tu main. Beralah sikit, dia tu adik kau!”

Kita pun beralah dan berikan permainan tersebut kepada adik. Si adik gembira mengejek sedang kita menjeruk rasa. Sebal, sedih dan berasa tidak adil.

Di alam persekolah kita alami juga situasi begini. Kita nampak di dalam bilik darjah akan ada seorang yang gemar membuli, akan ada yang menjadi mangsa buli. Dalam ramai itu pasti ada seseorang yang sifatnya tenang dan suka meleraikan sebarang pergaduhan. Dia lebih suka beralah walaupun fizikalnya kalau kita lihat senang-senang sahaja untuk dia tewaskan si kaki buli. Tetapi dia tidak begitu. Dia berjiwa pendamai.

Hari ini apabila sudah dewasa kita masih terus berdepan keadaan sama, diduga-duga dengan kerenah manusia yang menuntut kita bersabar dan beralah.

“Kenapa asyik kita saja yang beralah?” tanya isteri saya. Ini kerana setiap kali kereta kami berselisih di jalan kampung yang sempit, kamilah yang sering mencari bahu jalan untuk memberi laluan. Ada yang senyum dan mengangkat tangan tetapi tidak kurang juga yang berlalu dengan muka sombong seolah-olah memang dia patut diberi penghormatan untuk jalan dahulu. Memang sakit hati juga dengan mereka yang berasa diri merekalah yang patut didahulukan. Mereka sahaja yang mahu menang. Akhirnya kita kena bertenang. Tak mengapalah, tak rugi apa pun apabila beralah.

Bertahun-tahun jiran sebelah rumah kita parkir kereta anak-beranaknya betul-betul di hadapan pintu pagar masuk rumah kita sehingga kita nak masuk pun susah. Kita beralah. Kalau di tempat kerja, ada rakan sejawat yang sentiasa dapat peluang keluar untuk pergi kursus sana kursus sini sedangkan kita yang lebih ‘senior’ ini tak pernah dapat. Kita sabar. Kita beralah.

Di tengah kesesakan jalan raya semua orang mahu lekas sampai, ada kereta yang selamba sahaja memotong barisan. Kita yang sentiasa patuh dengan peraturan memang geram tetapi tak apalah! Beralah sahaja.

Kita bertukar pendapat dengan kawan kita, dengan suami atau dengan isteri, atau berkongsi pandangan dengan ahli keluarga lain; walaupun kita rasa pendapat yang dipersetujui oleh majoriti memang jauh bertentangan dengan prinsip kita – tak mengapalah. Kita beralah sahajalah. Untuk apa? Untuk elak hal menjadi panjang sehingga meleret kepada pergaduhan.

Persoalannya, adakah sifat beralah ini baik? Kerana adakala apabila kita selalu beralah akan beri kesempatan kepada pihak yang satu lagi pula untuk terus membuli. Kita selalu dikenakan. Dek kerana kesabaran kita tinggi kita diam sajalah.

Tetapi harus kita ingat sabar bukan bermaksud kita diam tidak berbuat apa-apa. Begitu juga beralah. Beralah atau mengalah bukan bermakna kita kalah. Ia adalah langkah undur setapak untuk kita berfikir sejenak dengan pertimbangan yang cukup waras sebelum kita melakukan tindakan.

Baiklah, jika kita patah semula kisah awal saya tadi mengapa kita harus beralah dan memberikan permainan kepada adik kita, pasti kita faham yang maksud mak kita itu ialah tidak ada gunanya bergaduh dengan adik kerana adik kita masih mentah dan akalnya masih belum cukup waras. Maknanya kita yang sudah cerdik tidak patut menjadikan orang yang kurang cerdik sebagai lawan. Lepaskan sahaja kepadanya.

Mungkin adik berasa menang kerana dia dapat memiliki tetapi kita berharap suatu masa nanti apabila adik sudah berakal dia akan faham bahawa dia dapat itu hasil daripada belas ihsan abang. Dan dia akan lebih faham lagi apabila dia pula terpaksa beralah dengan adik yang paling bongsu nanti. Dari situ dia akan belajar dan mengerti bahawa dia juga sedang melepasi suatu fasa yang mana dia sudah dewasa.

Orang dewasa harus lebih matang dan rasional. Orang dewasa harus tahu bila masa untuk bercakap dan bila masa untuk berdiam. Faham bila masa untuk bertindak dan bila masa untuk beralah.

Jangan takut untuk beralah. Amat jauh bezanya beralah dengan takut kalah. Yang takut kalah (kiasu) dan ingin bolot semua itulah orang yang tidak rasional dan cetek akalnya. Itu tamak namanya. Orang yang tamak sering berasa tidak cukup dan tidak selamat. Dia berasa dirinya selalu tergugat.

Itu yang ‘si adik’ kena faham dan kena buang perasaan tersebut apabila menginjak dewasa dan matang. Masalahnya, mak kita tidak beritahu adik bahawa – abang beri mainan itu kepada kamu kerana sayangkan kamu tetapi kamu jangan pula naik kepala. Kamu harus hargai abang kamu yang budiman.

Tapi mak tidak cakap begitu. Mak biar sahaja adik bersorak kemenangan dan mengejek kita dan mak biarkan sahaja kita terperuk merajuk membawa dendam sehingga kita tua membongkok! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.