Ahli Parlimen Indera Mahkota dakwa banyak analisis dan indikator menunjukkan PN boleh menang pilihan raya akan datang.

Wakil rakyat Indera Mahkota itu mendakwa, kebanyakan analisis dan indikator menunjukkan gabungan terdiri PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) boleh menawan PRU tersebut.

“Tetapi, sekiranya PN terlalu lambat membuat keputusan- keputusan penting seperti soal penggantian kepimpinan, maka ia boleh bertukar menjadi PRU yang PN pilih untuk kalah.
“Soal penggantian pemimpin menjadi rumit apabila melibatkan seseorang pengasas atau tokoh besar parti,” katanya merujuk kepada situasi dihadapi Onn Jaafar dan Robert Mugabe.
Beliau berkata, Onn dihormati selepas keluar Umno apabila merasakan dirinya tidak lagi sesuai dalam parti diasaskanya dan menubuhkan Parti Negara.
Mugabe, bekas presiden Zimbabwe pula digulingkan kerana terlalu lama dan taasub berkuasa.
Mengaitkan situasi kegagalan sesebuah parti bertindak segera, Saifuddin yang dipecat Bersatu berkata kelewatan Parti Demokrat menukar calon presiden Amerika Syarikat daripada Joe Biden kepada Kamala Harris menyebabkan mereka ketinggalan dan akhirnya dimenangi Donald Trump.
“Ia lebih berupa pertandingan yang Demokrat pilih untuk kalah, bukannya kemenangan Trump sangat.”
Saifuddin berkata demikian dalam tulisannya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Kerusi pengerusi PN kini kosong susulan keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu, dipercayai akibat krisis politik di Perlis menyaksikan partinya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS.
PAS menyatakan hasrat untuk mengetuai PN dengan beberapa nama dikaitkan antaranya Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pelantikan itu akan dibuat pada mesyuarat tertinggi PN yang tarikhnya belum ditetapkan sekali gus menyebabkan jawatan tersebut belum diisi lebih 10 hari selepas dikosongkan. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.