Presiden Umno berkata ketentuan dan takdir Ilahi menyebabkan Umno-DAP bekerjasama dalam kerajaan hari ini selain realiti politik.

Bercakap kepada FMT sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, Zahid mengakui di pentas sama empat tahun lalu beliau melaungkan ‘No Anwar, No DAP’ yang menunjukkan perseteruan dengan parti itu suatu ketika dahulu.
Walaupun turut melaungkan ‘No Bersatu’, Ungkapan itu kemudian menjadi sindiran terhadap Zahid yang bekerjasama dengan DAP, komponen bawah Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim selepas tiada parti memiliki majoriti pada PRU15.
Zahid berkata, malah Barisan Nasional (BN) serta Umno mendapat kepercayaan besar daripada Anwar dengan lantikan lapan wakilnya dalam Kabinet, tanpa bantahan DAP.
Katanya, parti itu turut memberi laluan kepada Umno menjadi menteri besar Perak walaupun PH-DAP mempunyai 24 kerusi berbanding BN dengan sembilan.
“Saya tiada masalah pun dengan DAP. Walaupun saya pernah laungkan ‘No Anwar, No DAP’ suatu masa dahulu, Allah sudah menyusun semuanya. Ditakdirkan kita menjadi rakan dalam kerajaan hari ini,” katanya yang dilantik timbalan perdana menteri bawah pentadbiran Anwar.
Menjawab dakwaan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Umno terhadap DAP, Zahid menegaskan beliau secara peribadi tidak mempunyai sebarang masalah bekerjasama dengan parti itu.
“Hubungan saya dengan mereka baik. Malah DAP memberikan kerjasama penuh contohnya pada PRK Mahkota…sokongan mereka membolehkan calon Umno memperoleh undi 20,000 majoriti.”
Kenyataan Zahid itu dilatari kritikan berterusan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap PH terutama DAP sehingga timbul gesaan parti keluar kerajaan perpaduan pada resolusi khas sayap berkenaan, 3 Jan lalu.
Akmal mendakwa berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R — kaum, agama dan raja.
Islam dan Melayu tak terpinggir
Dalam pada itu, Zahid menolak dakwaan penyertaan DAP dalam kerajaan menyebabkan kepentingan Melayu dan Islam terjejas seperti didakwa pihak tertentu.
“DAP hari ini menyokong sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf bahasa Melayu dan Islam sebagai bahasa serta agama rasmi negara.
“Hak Melayu dan Bumiputera juga tidak lagi dipersoalkan,” katanya yang mula memegang jawatan presiden Umno sejak 2018, menggantikan Najib Razak.
Beliau turut menegaskan politik Malaysia kini memasuki fasa baharu yang menuntut kematangan dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan negara dan rakyat.
“Jika dahulu Umno dan DAP mustahil untuk duduk semeja, hari ini kita bersama dalam kerajaan demi kestabilan negara.
“Evolusi politik seperti ini juga berlaku di banyak negara lain,” katanya.
Zahid turut berkata, kestabilan pentadbiran telah memulihkan keyakinan kerajaan asing terhadap Malaysia, sekali gus mengelakkan negara daripada terus terperangkap dalam kitaran ketidaktentuan politik seperti selepas 2018.
“Saya percaya rakyat juga tidak mahu episod lama itu berulang. Cukuplah pengalaman pahit di bawah tiga kerajaan terdahulu,” katanya merujuk kepada pentadbiran pasca PRU2018 diketuai Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.