`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, January 16, 2026

‘Akmal dah, giliran kamu pula lepas jawatan’, PAS beritahu DAP Melaka

PAS Melaka berkata tindakan ketua Pemuda Umno sindiran sangat tajam terhadap DAP.

Kamarudin Sidek sedik
AJK Lajnah Politik PAS Melaka Kamaruddin Sedik berkata tindakan Dr Akmal Saleh letak jawatan exco bukti keberanian dan kejujurannya dalam berpolitik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 PAS menggesa DAP turut melepaskan jawatan exco dan timbalan speaker DUN Melaka demi membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka, susulan tindakan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Melaka, Kamaruddin Sedik, berkata Akmal sudah menunaikan janji dengan berundur daripada jawatan itu kerana berpegang kepada prinsip mendahulukan tanggungjawab memperjuang serta mempertahankan agama, bangsa dan raja Melayu.

Katanya, tindakan Akmal tanpa tekanan daripada pimpinan Umno atau kerajaan negeri membuktikan keberanian dan kejujurannya dalam berpolitik.

“Bagi saya, tindakan itu sindiran sangat tajam kepada DAP yang kini perlu membuktikan tahap moral mereka sendiri.

“Sekurang-kurangnya, sudah tiba giliran DAP Melaka pula untuk melepaskan jawatan exco serta timbalan speaker DUN,” katanya lapor Berita Harian.

Terdahulu, dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda, Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan, selepas akur keputusan parti untuk terus kekal dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, meskipun sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP, beliau tetap menghormati keputusan parti untuk kekal dalam kerajaan perpaduan.

Sebelum ini pada Konvensyen Khas Pemuda Umno, Akmal mencabar DAP meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu sebahagian kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Kamaruddin berkata PAS menyambut baik pendirian tegas Akmal terhadap DAP, mengimbau pengalaman pahit parti itu ketika bekerjasama dengan DAP suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya, PAS terlebih dulu mengalami pengalaman pahit bersama DAP kerana parti itu (didakwa) sering bersikap talam dua muka dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

“Justeru, PAS akan terus konsisten mempertahankan prinsip perjuangan Islam serta kepentingan orang Melayu, selain tidak berkompromi dengan sebarang bentuk politik yang boleh menggugat keharmonian dan kepercayaan rakyat kepada ketuanan Melayu di negara ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.