
Sebaliknya, beliau menegaskan pendekatan bersasar itu membolehkan kerajaan mengekalkan inflasi di bawah dua peratus, sekali gus menunjukkan program subsidi seperti SARA tidak menambah tekanan kenaikan harga barangan secara meluas.
“Langkah ini menunjukkan bahawa subsidi bersasar bukan sahaja dapat membantu rakyat yang memerlukan, malah menyokong kestabilan harga dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.
Johan turut menjelaskan, berbeza dengan pendekatan di beberapa negara lain yang menaikkan harga ke paras pasaran dan menyalurkan bantuan tunai, kerajaan Madani menggunakan kaedah bersasar bagi membantu golongan rentan.
Dalam pada itu, Johan berkata penyasaran subsidi dirangka kerajaan mengambil kira keperluan sebenar rakyat dan bukan semata-mata mengikut sasaran pakar ekonomi atau Bank Dunia, yang mencadangkan subsidi hanya untuk golongan miskin.
Beliau berkata, kerajaan berpandangan subsidi tidak semestinya tidak baik, sebaliknya menjadi instrumen penting membantu isi rumah sekiranya diurus dan disasarkan secara lebih berkesan.
“Isunya bila dilaksanakan subsidi pukal, ia menyebabkan banyak ketirisan contohnya bila minyak diseludup merentasi sempadan,” katanya.
Mengambil contoh pelaksanaan BUDI Madani dan BUDI95, Johan berkata ia bukan sahaja dapat menangani ketirisan subsidi, malah menerusi penjimatan dana itu kemudiannya disalurkan bagi membantu majoriti rakyat menerusi SARA dan STR.
Pada pembentangan Belanjawan 2026 Oktober lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata langkah berani kerajaan dalam melaksanakan penyasaran dan penstrukturan semula subsidi telah membuahkan hasil besar dengan penjimatan keseluruhan mencecah RM15.5 bilion. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.