`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, January 17, 2026

Solat asas pembinaan keadilan, keharmonian sejagat, kata PM

Anwar Ibrahim berkata solat mempunyai dimensi luas dengan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembentukan diri individu malah keluarga, masyarakat dan negara.

Anwar Ibrahim seru semua pihak terus memelihara kehidupan secara rukun dan damai selain menolak prasangka, stereotaip palsu dan naratif permusuhan yang boleh menghancurkan keharmonian masyarakat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
 Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata antara peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ialah penerimaan langsung perintah solat lima waktu sebagai ibadat teras dalam kehidupan seorang Muslim.

Beliau berkata, solat bukan sekadar ibadat rutin, sebaliknya mempunyai dimensi yang luas dengan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembentukan diri individu, malah turut melibatkan keluarga, masyarakat dan negara.

Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata tokoh ulama Islam Nusantara Syeikh Daud Al-Fatani dalam karya klasik Munyatul Musolli, tidak hanya membahaskan tatacara solat, malah turut menyentuh aspek siyasah dan tatakelola yang baik.

“Dalam bab ‘Tatmim al-Fa’idah’, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadat solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan.

“Keadilan adalah tentang keseimbangan dan wujud secara beriringan dengan fenomena convivencia global, iaitu keadaan yang masyarakat sejagat hidup bersama dalam budaya damai,” katanya di Facebook.

Perdana menteri berkata, usaha mencapai keadilan merupakan tanggungjawab bersama, sama ada oleh Muslim atau bukan Muslim, demi merealisasikan matlamat kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terus memelihara kehidupan secara rukun dan damai, selain menolak prasangka, stereotaip palsu dan naratif permusuhan yang boleh menghancurkan keharmonian masyarakat.

“Pada masa sama mesti tetap tawaduk dan rendah hati, kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat. Bahkan jika kita mendapat jawapan sekalipun, kita tidak boleh terlalu gopoh dan tergesa-gesa menganggapnya sebagai penyelesaian yang tuntas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.