
Pengerusi Mais, Senator Salehuddin Saidin, berkata perkara itu bukan sahaja bercanggah ajaran Islam malah bertentangan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia.
“Mais memandang serius laporan media berkaitan penganjuran program yang melibatkan komuniti LGBT dan usaha mempromosikan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sebagai badan bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di Selangor, Mais menentang keras sebarang bentuk aktiviti mana-mana pihak yang bertujuan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBT,” katanya dalam kenyataan.
Salehuddin turut menyeru masyarakat Islam sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda menormalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam.
Pada masa sama, beliau menasihatkan mereka yang telah terjebak dengan gaya hidup songsang untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan Mais, pihak berkuasa agama lain atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan pemulihan berkaitan.
Salehuddin berkata, Mais turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan dalam memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang serta LGBT yang merosakkan masyarakat, dapat disekat dan dicegah.
“Mais akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan agensi kerajaan lain memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di negeri ini,” katanya.
Semalam Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata kerajaan Selangor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat, yang akan diadakan minggu depan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menyebar dan mempromosikan budaya LGBT di negeri itu.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan kumpulan terbabit yang berhasrat meneruskan program ‘Glamping With Pride’ pada hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.