Masalahnya bukan mereka tetapi kita semua rakyat, institusi dan pemimpin politik serta pengamal media yang sebenarnya sebab-musabab mahasiswa jadi mahasewel.

Apabila mahasiswa di Malaysia memperlihatkan perangai yang saya anggap tidak beradab dan tidak profesional, saya terpanggil untuk bertanya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, pucuk pimpinan universiti dan ahli politik kita, ‘hey man what the hell is going on?’ Di mana mahasiswa belajar berperangai buruk seperti membakar gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengugut rusuhan 13 Mei, ada pula mahasiswa yang sokong Hitler membunuh berjuta-juta Yahudi, menularkan ham yang dianggap daging babi namun sebenarnya bukan, membuat demonstrasi tuntutan yang tidak diselidiki penuh serta memijak kitab suci agama lain.
Sepatutnya, mahasiswa adalah golongan khusus yang istimewa sebab ada perkataan ‘maha’ yang bermaksud besar atau hebat serta makna siswa iaitu seorang pelajar. Dalam bahasa Melayu klasik dikatakan para santeri. Diberitakan zaman dahulu kala kalau seorang alim dan deretan santeri berkunjung ke kampung-kampung maka akan dilayan istimewa serta kalau ada pihak berperang mereka tidak akan dikacau malah diberi laluan aman. Itu hebatnya mahasiswa. Saya sebagai seorang ‘alim’ atau profesor amat berbangga menjadi sebahagian daripada jemaah universiti, dulu universiti awam tetapi kini universiti swasta. Tetapi apabila saya melihat gelagat mahasiswa, saya terpanggil menggerakkan pemikiran saya kepada apakah yang menyebabkan mahasiswa kita lebih bersikap ‘mahasewel’ dalam telatah sedemikian.
Saya mengesyaki isu ini bergerak dari terlalu banyak tumpuan pelajaran kepada aspek mencari kerja atau mencari makan dengan disiplin masing-masing. Bab nak jadi manusia beradab mungkin dibiarkan kepada orang lain. Tetapi ada yang berkata ada subjek mata pelajaran teras universiti atau MPU. Umum mengetahui semua mahasiswa menganggap subjek MPU ini subjek ‘kacau daun’ dan juga subjek tidak penting untuk cari makan.
Universiti pula membiarkan beribu-ribu pelajar dididik oleh segelintir pensyarah. Ada pensyarah yang kena ajar 500 orang. Demam saya dengar cerita itu. Saya pernah mengajar 110 pelajar struktur dan teori seni bina, okey saja tetapi saya tak boleh ‘imagine’ kena ajar 500 orang. Universiti pula memperuntukkan pensyarah muda yang kurang pengalaman mengajar subjek MPU sebab ia subjek anak tiri kononnya, senang kita katakan. Semua profesor hebat-hebat ditakung dalam subjek disiplin atau pengurusan tertinggi. Tidak hairanlah kita ada mahasiswa sedemikian sebab pengurusan tertinggi ‘menganaktirikan’ subjek yang sepatutnya mengajar budak-budak kita menjadi manusia beradab. So, betullah kita ada mahasewel yang nak pijak kitab atau bakar gambar PM.
Kemudian, kita beralih pula kepada ahli politik dan golongan agama. Apabila ahli politik kita melakukan perkara biadab antara agama dan antara kaum, siapa nak tegur mereka? Saya lihat mufti tak banyak tegur. Why? Mungkin dia ingat bukan bidang pelajaran dia dan ‘not his scope of work’. Sepatutnya muftilah contoh terbaik tetapi saya tak nampak seorang pun yang saya anggap ‘an exceptional human being’. Jadilah ahli politik kita menggila. Saya lihat profesor yang bergelar ‘senior profesor’ atau profesor ulung atau entah apa lagi gelaran profesor semuanya menikus senyap. Mungkin profesor pun tak reti konsep adab sebab tak baca buku agama masa berkhidmat dan bila pencen baru mengadap ustaz. Dari siapa mahasiswa kita nak belajar kalau dibiarkan ahli politik menggila pasal bendera terbalik, kuil tak berpermit, tahi babi yang lebih busuk daripada tahi lembu, orang bukan Melayu sebagai pendatang, nak sambut Kerismas bersama tak boleh, nak ziarah tahun baharu pun haram, so siapa yang nak tegur dan berdialog dalam sosial media tentang hidup dalam kemajmukan dan kesepaduan?
Kita tengok tokoh dalam masyarakat kita sendiri. ‘Do we have’ tokoh Hindu, tokoh Cina, tokoh Kadazan, tokoh Islam atau tokoh Kristian yang petah berbahasa Melayu serta bersimbah dengan pelbagai ilmu untuk memberi nasihat kepada kaum-kaum serta penganut agama sendiri. Bagi saya cukup cantik kalau mahasiswa Melayu, Gabungan Mahasiswa Islam merepek nak ugut kaum Cina tentang 13 Mei, maka tokoh Melayu dan tokoh Islam kita yang ‘first’ sekali kena tegur mereka, bukan polis. Kalau perihal kuil Hindu yang tidak berpermit, mana dia tokoh Hindu yang dihormati semua rakyat Malaysia untuk menasihati kaum mereka sendiri? Saya sudah melihat gelagat politik perkauman dan naratif konflik agama yang kian hari kian mengancam dan tiada tokoh yang menyerlah. Tetapi ‘tup tup’ tokoh seorang ini dapat anugerah Maal Hijrah atau tokoh itu dapat anugerah tokoh merdeka atau segala macam anugerah lain yang satu sen pun saya tak nampak impaknya kepada naratif pertelagahan kaum dan agama kita.
Akhir sekali, saya katakan mahasiswa yang pijak kitab atau yang bakar gambar pemimpin atau yang ugut 13 Mei, mereka ini saya akan ‘expel’ semua. Namun demikian, saya sedar masalahnya bukan mereka tetapi kita semua rakyat, institusi dan pemimpin politik serta pengamal media yang sebenarnya sebab-musabab mahasiswa kita jadi mahasewel. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.