`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, February 26, 2026

Berpura-pura ala Michelle Yeoh

 Sama ada takdir tuhan atau tidak sengaja, nampaknya ‘Sandiwara’ memang sudah terkena.

faisal tehrani

Ada satu lagu anak-anak yang amat terkenal, judulnya ‘Enjit-enjit Semut’. Lagu ini diciptakan oleh seorang pelopor lagu-lagu patriotik dan anak-anak yang terkenal bernama Achmad CB. Meskipun berasal dari Medan, Indonesia, beliau memiliki jiwa Melayu kental dan antara lagu yang terkenal ciptaannya adalah ‘Melayu Raya’.

Akan tetapi saya bukan hendak membicarakan perihal Melayu, mungkin lebih untuk membincangkan perihal Cina. Saya tertarik hati untuk menyentuh beberapa kategori yang diciptakan oleh Achmad CB untuk memperihalkan jenis seniman. Pengungkapan jenis seniman yang diutarakan oleh Achmad CB ini disebut dalam sebuah buku tahun 1986, dengan judul ‘Potret Budi:Kebanggaan Negara’. Dalam hal penjenisan ini tentulah ia tidak melibatkan bangsa.

Menurut Achmad CB terdapat tiga kelompok seniman. Yang pertama, hujahnya seniman bunga raya, mengambil kira bunga kebangsaan Malaysia. Yang kedua, Achmad CB menyatakan ada pula seniman bunga labu. Manakala yang terakhir adalah seniman bunga tahi ayam. Menurut beliau yang bunga raya itu mengangkat kemuliaan tanah air, sedang yang bunga labu itu barangkali berseni tetapi dipersiakan orang, mungkin kerana tidak cukup bersemangat nusa. Dalam pada itu yang tahi ayam adalah seniman yang menghancurkan, bukan itu sahaja, ia mengelak untuk berbicara dan dalam kepalanya hanyalah benda, materi, duit dan kemasyhuran. Untuk perenungan, nukilan Achmad CB itu tertulis begini:

“Seniman senilai bunga raya menurut beliau, adalah seniman yang berkorban untuk membangunkan seni demi kemuliaan tanah air dan bangsa. Seniman senilai bunga labu pula, meskipun seorang seniman, tetapi orang tidak mengetahuinya, iaitu tidak terkenal dan dibiarkan begitu saja. Manakala seniman senilai bunga tahi ayam adalah seniman yang tidak mempedulikan kehancuran umat manusia akibat lagu nyanyiannya. Seniman begini hanya mementingkan duit saja….(kita) mestilah mengelakkan diri dari menjadi seniman senilai bunga tahi ayam. Ini adalah kerana seniman senilai bunga tahi ayam hanya memikirkan tentang duit semata-mata dengan mengaburi kepentingan budaya bangsa.”

Baru-baru ini, Michelle Yeoh setelah empat dekad dalam industri seni, menambah satu lagi anugerah, iaitu Berlin Film Festival’s Honorary Golden Bear for Lifetime Achievement. Beliau sebelum ini sudah pun memenangi Oscar, dan Golden Globe. Kita masih ingat beliau ke Putrajaya membawakan Oscar itu dan menunjukkan kepada PMX. Sekarang berusia 63 tahun, Yeoh melakukan pilihan yang tepat dalam karier seninya satu ketika dulu dengan berhijrah ke Hong Kong, bekerja di Taiwan dan kemudian beroleh peluang di Hollywood selepas filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000). Dalam ucapan penganugerahannya, Yeoh mendedikasikan anugerah besar itu untuk ibu bapanya, khusus bapanya. Kalau Yeoh tidak ke Hong Kong, dengan hantu Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dipelopor Profesor Diraja Syed Naquib al-Attas, Yeoh tidak akan dikenal.

Kebetulan, Yeoh menerima pengiktirafan di Berlin tersebut ketika filem pendek lakonannya, ‘Sandiwara’ sedang diputarkan di saluran YouTube.

‘Sandiwara’ dikerjakan bersama Sean Baker (penerima Oscar untuk filem romantik-lucah berjudul Anora), dan Han Chong telah diputarkan buat pertama kalinya pada 19 Feb lalu di Los Angelas.

Filem 11 minit yang dibikin dengan iPhone sepenuhnya itu adalah satu ode atau dedikasi istimewa untuk kota George Town, Pulau Pinang. Semua dari kita bila merujuk George Town tentulah mengingatkan makan, bangunan kolonial kepam berbaur dengan reka bentuk Cina dan peranakan, serta identiti budaya negeri selat yang kompleks. Dua tahun dari hidup saya pernah di George Town ketika melakukan sarjana di Universiti Sains Malaysia dengan Cikgu Shahnon Ahmad, dan ‘Sandiwara’ oleh Sean Baker merakam banyak lorong yang pernah saya lalui, dan jejaki.

Yeoh dalam ‘Sandiwara’ memerankan lima watak yang kompleks, iaitu peniaga gerai di sebuah medan selera kusam, seorang vlogger makanan yang cerewet, seorang gastronom atau pengkritik makanan yang sukar ditebak, pramusaji atau pelayan yang membawakan hidangan dan seorang penyanyi melepasi zaman puncaknya. Semua mereka bertemu di satu tempat yang sama, Red Garden, medan selera lejen di George Town. Dalam 11 minit itu Yeoh bertindih watak, berpindah pelbagai karektor, bertukar melakonkan watak seorang penggerai yang penuh dedikasi, seorang pempengaruh retis, seorang gastronom tegas, seorang pelayan ‘happy go lucky’ dan seorang penyanyi yang menjadi bintang sepi dalam dunia kecilnya sendiri. Latar Red Garden adalah latar medan selera Cina yang penuh bau, hiburan murah, dan kegembiraan sementara.

Momen 11 minit itu ada sedihnya, ada seronoknya dan ada bosannya. Ia mungkin tidak sesuai ditonton oleh ahli Umno tegar, dan pembenci DAP. 11 minit yang girang itu mungkin menjadi 11 minit penderaan panjang. Lakonan Yeoh tetap sama, Yeoh 20 tahun yang lalu dan Yeoh selepas Oscar masih ada dalam ‘Sandiwara’. Tiada beza. Pun, helahnya adalah minit terakhir di Red Garden, Yeoh sebagai penggerai kecil terharu oleh anggukan puji si gastronom kelasan yang ditakuti. Kalau tiada minit terakhir itu, tentu kita boleh mempersoalkan mengapa Yeoh dipilih sebagai bintang untuk filem ini.

‘Sandiwara’ ingin merakamkan warisan kulinari George Town, ada sajian nyonya, hidangan masyarakat Cina yang menyelerakan, disebut sepintas lalu nasi kandar (tentu berdosa kalau tidak menyentuhnya) dan bertepatanlah dengan peranan Yeoh yang juga duta Tahun Melawat Malaysia. Tentu dalam 11 minit itu tidak semua hidangan kebanggaan Pulau Pinang dapat diketengahkan, dan fokusnya tentulah sajian masyarakat Cina. Dan seperti di George Town, bahasa pertuturan dalam filem ini ada Mandarin, Inggeris dan sedikit bahasa kebangsaan.

‘Sandiwara’ dengan itu menjadi satu poskad indah dari Malaysia ke seluruh dunia. Di tangan Baker, segenggam iPhone diberi warna yang menggiurkan. Dan tentu suntingannya perlu tepat, cincangnya perlu tajam, dan jalinan adegan perlu kena. Mana tidaknya, semua adegan Yeoh itu saling bertindanan yang menjadikan dia perlu menukar lima jenis pakaian, lima jenis solekan, lima jenis gaya pertuturan dan lima jenis pendekatan lakonan.

Jadi, di mana letaknya Yeoh selepas empat dekad, dan kembali ke Malaysia dengan ‘Sandiwara’? Adakah dia seniman setara bunga raya, bunga labu atau bunga tahi ayam? Mengapa bunga dibawa ke sini? Dalam ‘Sandiwara’ ada wataknya menyemat bunga anggerik.

Memainkan tugas sebagai anak Malaysia, untuk memperkenalkan negara ke serata dunia tentu sahaja Yeoh yang acap kali pulang ke sini telah memenuhi kotak markahnya dengan penuh. Beliau sering menyebut Malaysia, Ipoh dan kini membawa George Town ke pelosok dunia. Pada masa sama beliau menerima anugerah di Berlin itu, beliau juga menghindari diri daripada berbicara politik. Tular respons Yeoh di media apabila ditanyai (secara tidak langsung) tentang penindasan ICE yang dilakukan regim Trump-Epstein terhadap imigran dan migran. Yeoh lazim membawa watak tipikal rata-rata wanita Asia iaitu bersikap apolitikal, ya saya tidak tahu, saya tidak berapa tahu dan saya kurang tahu. Yang saya ambil tahu hanyalah wayang, atau sinema. Watak tipikal rata-rata wanita Cina juga ialah mengelakkan untuk menyebut hal genosida di Gaza, Palestina. Tiada bunga, daun atau tangkai zaitun dalam hal ini. Lagipun mengapa menjejaskan peluang bekerja dan merisikokan kemasyhuran dengan bersikap untuk kemanusiaan, bukan begitu?

Dalam filem ‘Sandiwara’ ada satu lagu dinyanyikan Yeoh iaitu ‘Pura-Pura’. Hai siapalah gamaknya yang mencadangkan kepada Sean Baker agar lagu ini sebagai pilihan. Lagu iringan harus menggambarkan watak dan mood filem sepenuhnya. Kalau silap, terkena batang hidungnya.

Tapi, itulah yang terjadi. Sama ada takdir tuhan atau tidak sengaja, nampaknya ‘Sandiwara’ memang sudah terkena. - FMT

 Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.