`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, February 17, 2026

PAS mungkin selamat, tapi parti baharu beri Hamzah kuasa sebenar, kata penganalisis

 Syaza Shukri berkata Hamzah Zainudin mungkin yakin dapat serlah diri berbekalkan 18 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu yang didakwa menyokongnya.

Hamzah Zainudin and team PN PAS leaders
Timbul spekulasi Hamzah Zainudin mungkin sertai PAS selepas beliau memuat naik gambar bersama pemimpin parti Islam itu termasuk Presiden Hadi Awang pada hari sama selepas dipecat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 PAS mungkin menjadi pilihan mudah untuk Hamzah Zainudin sebagai ‘rumah baharu’ politiknya, tetapi penganalisis berpendapat mengetuai parti baharu boleh menonjolkan kepimpinan bekas timbalan presiden Bersatu itu.

Syaza Shukri dari Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat, Hamzah mungkin yakin dapat menyerlahkan dirinya di platform baharu berbekalkan sokongan 18 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu yang didakwa menyokongnya.

“Sekarang Hamzah mungkin selesa dengan PAS tapi saya tak rasa sertai parti itu kerana beliau nampak yakin boleh tarik penyokong daripada Bersatu.

“Lebih baik beliau guna pengaruh ada sekarang untuk buat parti baharu, boleh jadi pemimpin utama kepada parti Melayu tanpa perlu berdepan perebutan kuasa dalaman,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Hamzah dipetik berkata pada masa ini pilihannya kekal terbuka sama ada membentuk parti baharu atau parti lama dalam rumah baharu bagi meneruskan perjuangannya politiknya selepas dipecat Bersatu sehari sebelumnya.

Menyertai Bersatu pada 2019, Hamzah dipecat lembaga disiplin kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti itu.

Timbul spekulasi ketua pembangkang menyertai PAS selepas beliau memuat naik gambar bersama pemimpin parti Islam itu termasuk Presiden Hadi Awang, pada hari sama selepas dipecat.

Ada juga khabar angin Ahli Parlimen Larut itu akan menyertai Umno dengan Presiden Zahid Hamidi menyatakan kesediaan menerima bekas ahlinya termasuk Hamzah.

Pada masa sama, Hamzah juga dikaitkan pengambilalihan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) namun Ketua Penerangan Mohd Hamdan Mohd Sharif menegaskan tiada sebarang pertemuan atau rundingan rasmi mengenainya.

Sementara itu, Felo Majlis Professor Negara, Azmi Hassan, berpandangan jika Hamzah menyertai PAS, beliau berpotensi memanjangkan hayat politiknya, berbanding menyertai parti lain seperti Umno.

“Kalau masuk PAS mungkin boleh jadi calon PRU16 tetapi jika Umno ada tentangan hebat serta ada pilihan lain. PAS pula beri peluang kepada yang tiada ikatan untuk jadi calon, kalau nak panjangkan hayat politik PAS lebih sesuai.

“Tetapi masalah sekarang Akta Anti Lompat Parti menjadi faktor utama yang mengehadkan pilihan Hamzah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.