`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, February 18, 2026

Pilihan raya JKKK Kadamaian contoh demokrasi akar umbi, kata penganalisis

 Penganalisis berkata proses itu beri mandat mutlak kepada penduduk memilih pemimpin benar-benar faham denyut nadi kawasan mereka tanpa pengaruh politik.

Setakat 10 Feb lalu sebanyak 31 kampung di DUN Kadamaian melaksanakan pemilihan manakala 25 lagi akan berbuat demikian seperti dijadualkan bermula 6 Feb hingga 21 Feb ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Kadamaian, Kota Belud, dilihat sebagai contoh demokrasi akar umbi yang progresif dan mampu memperkasakan komuniti setempat secara langsung.

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, proses itu juga sesuai diperluaskan ke Semenanjung kerana ia akan memberikan mandat mutlak kepada penduduk memilih pemimpin benar-benar memahami denyut nadi kawasan mereka tanpa pengaruh hierarki terutama elit politik secara dominan.

“Sekiranya model ini diperluaskan ke Semenanjung, bagi saya, ia mampu mengurangkan amalan kronisme serta meningkatkan akauntabiliti ketua kampung,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, pemilihan JKKK di Kadamaian adalah manifestasi demokrasi akar umbi yang progresif.

Salleh berkata, usaha dilaksanakan Adun Kadamaian Ewon Benedick dilihat mampu memberi peluang kepada masyarakat memilih sendiri jawatankuasa kampung, sekali gus mengukuhkan konsep kerajaan desa dan kepimpinan berasaskan mandat rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, Ewon berkata selepas menerima mandat baharu di Kadamaian, beliau menyatakan akan mengadakan pemilihan di peringkat kampung bagi membolehkan penduduk memilih pengerusi JKKK dan ketua mereka.

Setakat 10 Feb lalu sebanyak 31 kampung melaksanakan pemilihan manakala 25 lagi akan berbuat demikian seperti dijadualkan bermula 6 Feb hingga 21 Feb ini.

Timbalan ketua menteri yang juga menteri perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan Sabah berkata, inisiatif itu adalah sumbangan Upko kepada proses dan amalan demokrasi di peringkat kampung sesuai dengan komitmen parti semasa kempen pilihan raya lalu selaras aspirasi ‘Sabah First’.

Mengulas lanjut, Syahruddin bagaimanapun berkata cabaran utama di Semenanjung adalah polarisasi kaum dan ideologi parti di peringkat akar umbi yang mungkin merumitkan pelaksanaan pemilihan secara menyeluruh, terutama jika wujud strategi pemecahan sokongan berasaskan parti politik.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpendapat pemilihan JKKK tidak sesuai dilaksanakan di Semenanjung kerana mereka cenderung membuat pilihan berdasarkan etnik dan agama.

“Apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak, walaupun lebih mempunyai etnik yang berbeza, mereka tidak membezakan etnik antara satu sama lain. Jadi mungkin sesuai dilakukan pemilihan di peringkat kampung kerana pemilihan besar kemungkinan tidak bersandarkan anda daripada etnik mana.

“Tetapi di Semenanjung sudah pasti tidak boleh dilakukan kerana pola pemilihan itu bersandarkan bukan sahaja daripada parti mana, tetapi parti yang dominannya adalah orang Melayu atau anda orang Cina,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.