`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, February 25, 2026

Radzi ujian ‘hidup mati’ Bersatu hadapi PRN Melaka

 Penganalisis berkata Radzi Jidin hadir dengan kredibiliti antara penggerak awal Bersatu dan bawa imej teknokrat bersih namun realiti politik di Melaka amat mencabar.

Radzi Jidin diumumkan sebagai ketua Bersatu Melaka menggantikan Rahim Thamby Chik yang meletak jawatan semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Pelantikan Radzi Jidin sebagai ketua Bersatu Melaka menjelang PRN dijangka tahun ini disifatkan ujian ‘hidup mati’ buat parti itu susulan peletakan jawatan pemimpin berpengaruh, Rahim Thamby Chik.

Penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata Radzi hadir dengan kredibiliti sebagai antara penggerak awal Bersatu dan membawa imej teknokrat bersih, namun realiti politik di Melaka amat mencabar.

Katanya, keputusan PRN 2021 membuktikan dominasi Umno yang memenangi 21 daripada 28 DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) hanya mampu memperoleh dua kerusi melalui Bersatu.

“Cabaran Radzi bukan sekadar menentang Umno, tetapi menguruskan sabotaj dalaman yang sudah mula meruncing selepas peletakan jawatan tokoh penting. Tanpa penyatuan saf, jentera PRN akan lumpuh sebelum bertempur.

“Radzi perlu segera menyusun kepimpinan negeri, membina naratif segar yang mengangkat kembali keyakinan terhadap PN dan Bersatu serta menawan sokongan anak muda dan professional,” katanya dari Global Asia Consulting kepada FMT.

Hari ini, Setiausaha Agung Azmin Ali mengumumkan pelantikan Radzi sebagai ketua Bersatu Melaka menggantikan Rahim yang meletak jawatan semalam.

Radzi adalah Ahli Parlimen Putrajaya dan naib presiden serta ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, selain turut menjalankan tugas timbalan presiden susulan pemecatan Hamzah Zainudin, 13 Feb lalu.

Mengulas lanjut, Zaharuddin menegaskan Melaka kini menjadi medan ujian kritikal kepada kelangsungan Bersatu di peringkat negeri.

Katanya, jika Radzi gagal menangkis sabotaj dan memperkukuh jentera, Bersatu bukan sahaja akan terus tenggelam di Melaka malah sukar bangkit semula pada PRU mendatang.

“Pelantikan ini adalah peluang terakhir untuk membuktikan parti masih relevan, atau sekadar menjadi nota kaki dalam catatan sejarah singkat,” katanya.

Sementara itu, Felo Majlis Professor Negara, Azmi Hassan, menyifatkan Bersatu Melaka paling tenat berbanding negeri lain, susulan peletakan jawatan tokoh utamanya di peringkat negeri.

Katanya, Melaka menjadi negeri paling penting untuk menguji kekuatan Bersatu kerana dijangka terawal menghadapi PRN mendahului negeri lain termasuk Johor sebelum PRU16. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.