Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bertitah supaya pasukan keselamatan meningkatkan semangat juang dan tekad mempertahankan negara.

Titah baginda, tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen tinggi pasukan keselamatan, keamanan yang rakyat nikmati hari ini sukar dipertahankan.
“Allah SWT melihat dan memantau setiap pergerakan dan perbuatan kita semua setiap masa. Oleh itu, tingkatkanlah tekad serta semangat juang, dan curahkanlah sepenuh jiwa dan raga dengan rasa cinta mendalam kepada negara. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa masing-masing.”
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna Kompeni C Batalion 2 Pasukan Gerakan Am di Padang Besar.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin memuji langkah bersepadu agensi keselamatan di Perlis bagi menghalang mana-mana pihak cuba menjalankan kegiatan haram rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Baginda bertitah, pasukan keselamatan akan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang dan bekerjasama dengan rakan sejawat di negara jiran, khususnya Thailand bagi memastikan kawalan lebih berkesan serta menyeluruh di sempadan negara.
Tuanku turut menzahirkan rasa bangga terhadap rakyat kerana semakin sedar, peka serta memainkan peranan menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan mencurigakan, yang mencerminkan kematangan masyarakat bagi membantu memelihara keselamatan negara.
“Sesungguhnya, keselamatan negeri dan negara bukanlah tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.