Hisomuddin Bakar berkata jawatan bendahari agung PN juga penting untuk mengerakkan jentera pilihan raya PN.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata seperti jawatan pengarah pilihan raya disandang Sanusi sebelum ini, peranan baharu itu juga penting kerana berkait keupayaan kewangan parti atau gabungan untuk menggerakkan aktivitinya.
Menurutnya, kepercayaan untuk Sanusi mengisi kekosongan ditinggalkan hampir dua tahun lalu oleh Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, menunjukkan seorang individu berpengaruh diperlukan bagi
meyakinkan penyumbang dan penyokong kewangan.
“Dalam konteks ini, Sanusi dilihat mempunyai profil sesuai kerana beliau bukan sahaja seorang menteri besar, tetapi juga figura mempunyai pengaruh politik kuat serta daya tarikan tersendiri di kalangan penyokong PN.
“Sebagai tokoh mempunyai karisma tersendiri di pentas ceramah dan kempen politik, beliau masih boleh memainkan peranan penting dalam menarik sokongan pengundi khususnya di kawasan majoriti Melayu,” katanya kepada FMT.
Namun bagi Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya, perubahan itu juga boleh ditafsir dengan keciciran satu lagi jawatan utama dalam PN oleh PAS walaupun mereka telah menduduki kerusi pengerusi dan setiasaha agung.
“Pengarah pilihan raya penting untuk PAS kerana ibarat ‘kompas’ arah untuk berhadapan pilihan raya, jika kompas ini dipegang oleh orang salah maka nahkoda pun boleh disesatkan.
“Bagi saya PN kini panglima pilihan raya yang lemah apabila Radzi dilantik,” katanya yang mendakwa PN berpengaruh kerana aura Sanusi serta jentera PAS bukan disebabkan Bersatu.
Sementara itu, Hisomuddin melihat pelantikan Radzi itu juga sebagai sebahagian daripada strategi dalaman Bersatu untuk menyusun keseimbangan pengaruh antara kem yang berbeza dalam parti.
Beliau merujuk kepada kem Presiden Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang pertelingkahannya memuncak bulan lalu yang membawa pemecatan Hamzah.
“Pelantikan Radzi boleh dilihat sebagai satu bentuk penghargaan politik terhadap pendirian dan kesetiaan beliau dalam dinamika kepimpinan Bersatu.
“Namun dari sudut pengalaman politik pilihan raya, Radzi masih belum benar-benar teruji dalam mengendalikan operasi pilihan raya berskala besar di peringkat gabungan,” katanya.
Tawfik turut memberi amaran kelemahan Radzi menguruskan jentera pilihan raya berisiko menjejaskan PN.
“Mungkin PAS terpaksa bertanding logo ‘bulan’,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.