Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata rayuan Khairy Jamaluddin itu akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi untuk dinilai.

Zambry berkata rayuan Khairy akan dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti dan Naib Presiden Khaled Nordin telah dilantik sebagai pengerusi teknikal bagi menilai proses itu.
“Saya lihat pertemuan semalam (Presiden Umno Zahid Hamidi dan Khairy) itu telah memberi petunjuk yang sangat baik kerana kedua-duanya dapat bertemu dalam suasana yang penuh harmoni.
“Saya yakin ia tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ini merupakan satu proses yang cepat, kerana ia adalah merupakan idea daripada presiden untuk menubuhkan Rumah Bangsa bagi membawa balik bekas-bekas ahli,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani yang dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat daripada parti pada 23 Jan 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti selepas PRU15.
Sementara itu, Zambry memuji kesetiaan bekas Ahli Parlimen Rembau itu terhadap Umno meskipun menghadapi banyak kesukaran dalam arena politik.
“Sejak dari awal sehinggalah sekarang, walaupun beliau (Khairy) menghadapi masalah, beliau tetap berada dalam Umno dan jiwanya adalah jiwa Umno.
“Saya juga mengucapkan terima kasih juga kepada presiden Umno itu sendiri yang telah membuka ruang dengan idea beliau untuk membentuk ‘Rumah Bangsa’, mengembalikan mereka semula,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.