`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, March 16, 2026

12 ditahan kes bakar kenderaan, ugutan jenayah di Puchong

 Polis berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati yang membawa kepada tindakan khianat serta ugutan jenayah.

Shazeli Kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian, manakala lima dibebaskan dengan jaminan polis, termasuk seorang merupakan isteri seorang suspek. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
 Kes khianat bakar kenderaan dan ugutan jenayah di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong, minggu lalu dianggap selesai selepas polis menahan 12 individu dipercayai terbabit kejadian itu.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata 11 lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427, 506 dan 435 Kanun Keseksaan.

“Daripada 12 individu ditangkap, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan, manakala lima lagi dibebaskan dengan jaminan polis, termasuk wanita terbabit yang merupakan isteri seorang suspek,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan menerusi operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang dari 12 Mac hingga semalam di beberapa lokasi.

Menurutnya, sebuah Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera serta motosikal Honda Wave dan Yamaha Y16 turut dirampas.

Semakan mendapati lima daripada tujuh suspek masih ditahan memiliki rekod jenayah pelbagai kes, namun ujian saringan air kencing semua tangkapan didapati negatif dadah.

Jelasnya, siasatan awal mendapati insiden dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati yang membawa kepada tindakan khianat serta ugutan jenayah.

Katanya, polis turut menahan individu dipercayai dalang utama kejadian dan siasatan setakat ini mendapati tiada elemen kongsi gelap.

Shazeli menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau provokasi di media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam sementara siasatan dilengkapkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.