Namun Hisommudin Bakar berkata Amanah perlu realistik menentukan kerusi wajar ditandingi berdasarkan kekuatan sebenar dari segi pengaruh parti dan keupayaan jentera.

Hisommudin Bakar berkata, parti itu pada dua PRU lalu banyak menguasai kawasan bandar dan separa bandar dengan komposisi pengundi pelbagai kaum serta tahap sokongan pengundi bukan Melayu yang relatif tinggi.
Menurut pengarah eksekutif Ilham Centre itu, kemenangan Amanah juga banyak bergantung kepada pengundi bukan Melayu yang menyokong Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan.
Katanya, parti berkenaan mungkin mahu mengubah keadaan terbabit pada PRU16 yang bagaimanapun memerlukannya menguatkan organisasi serta pengaruh untuk bersaing secara langsung di jajaran kerusi majoriti Melayu.
“Hasrat Amanah bertanding lebih banyak kerusi juga boleh dilihat sebagai usahanya untuk memposisikan diri sebagai parti Melayu-Islam yang mempunyai pengaruh dan kemampuan untuk bersaing dengan parti Melayu lain.
Jika gagal berbuat demikian, Hisommudin berkata Amanah perlu realistik menentukan kerusi wajar ditandingi berdasarkan kekuatan sebenar dari segi pengaruh parti, keupayaan jentera serta kualiti calon.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof baru-baru ini yang parti itu menyasarkan bertanding sehingga 30 kerusi pada PRU16 termasuk Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, Amanah diwakili lapan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kurang tiga berbanding PRU14.
Namun, Hisommudin berpandangan langkah Amanah bertanding di Borneo mungkin boleh menjeratnya dan kebarangkalian untuk kalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung.
“Dalam konteks Sabah dan Sarawak pula, jenama Amanah masih belum begitu dikenali oleh pengundi.
“Landskap politik di kedua-dua negeri itu juga lebih dipengaruhi parti tempatan dan sentimen kenegerian,” katanya merujuk kepada Amanah yang berpangkalan di Semenajung.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpandangan pertembungan dengan Umno, rakan dalam kerajaan perpaduan tidak dapat dielakkan jika Amanah berhasrat bertanding 30 kerusi.

“Kerana asas penyokong Amanah dan asas penyokong BN/Umno sama iaitu pengundi Melayu,” katanya merujuk hasrat Barisan Nasional yang mahu bertanding 115 kerusi pada PRU akan datang.
“Jadi, pertembungan itu hampir pasti.”
Namun, Azmi yang senada dengan Hisommudin berkata Amanah wajar melupakan Sabah dan Sarawak dan fokus kepada kawasan pengundi PH yang stabil dan kuat.
“Sepatutnya (Sabah/Sarawak) dilupakan kerana walaupun kita lihat PAS menang kerusi di Sabah tetapi itu satu anomali (luar kebiasaan) di mana kekuatan PKR dan DAP di negeri Borneo itu tidak kuat, jadi sepatutnya Amanah tumpu kerusi di Semenanjung saja,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.