`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, March 17, 2026

Raya: Nostalgia kampung dan realiti Malaysia Moden

 Suatu ketika beberapa tahun akan datang nanti, tidak mustahil nostalgia balik kampung yang kuat ini akan terus pudar.

ronasina

Aidil Fitri bermaksud kebanyakan kita akan balik ke kampung. Itulah adat budayanya. Lebuh raya yang sesak sedikitpun tidak melunturkan semangat pulang beraya kerana ia bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan emosi. Ia hari kita kembali kepada keluarga, kenangan dan akar tradisi.

Tak tahu mengapa dan sejak bila Aidil Fitri bagi orang Melayu-Islam di Malaysia adalah hari bertemu keluarga, mengunjungi sanak-saudara dan bermaaf-maafan. Apa yang saya tahu, di Arab tak ada konsep ‘maaf zahir dan batin’ ini pada hari raya seperti kita. Hanya kita sahaja yang menerapkan elemen tersebut pada 1 Syawal tapi bagi saya ini budaya yang sangat baik.

Dalam imaginasi kolektif generasi kita, kampung mempunyai makna yang sangat istimewa. Di situlah terletaknya rumah limas, senibina tradisional Melayu yang pernah didiami oleh datuk dan nenek kita. Kampung sering dilihat sebagai simbol keaslian dan jati diri, sesuatu yang kita rasa semakin jauh dalam kehidupan moden serba pantas ini.

Sebab itu setiap kali Aidil Fitri tiba, nostalgia terhadap kampung menjadi begitu kuat. Lagu-lagu raya klasik yang menemani semenjak kita bertatih lagi sering mengulang gambaran yang sama iaitu tentang perjalanan pulang, ayah bonda yang menanti, keluarga berkumpul dan suasana desa yang permai. Ia seolah-olah menjadi gambaran ideal tentang dunia Melayu Malaysia yang meriah dalam kesederhanaan tetapi akrab.

Di sebalik nostalgia itu, realiti Malaysia hari ini mengalami perubahan yang begitu ketara. Masuk sahaja era milenium, Malaysia mengalami proses urbanisasi yang pesat. Bandar-bandar berkembang, kawasan industri muncul dan populasi di bandar semakin meningkat. Anak muda meninggalkan kampung untuk belajar, bekerja kilang dan membina kehidupan di bandar-bandar. Maka, raya adalah hari percutian bagi mereka untuk kembali bertenang setelah sibuk sepanjang tahun di bandar, meredakan tekanan di bandar dan merasai kedamaian desa sebelum kehidupan kembali berpusat di bandar.

Balik beraya di kampung seolah-olah satu usaha untuk mengenang semula suasana yang dirasakan semakin pupus — iaitu merasai hidup dalam pemuafakatan, hubungan kekeluargaan yang rapat, semangat kegotong-royongan dan kehidupan yang tidak tergesa-gesa. Dalam beberapa hari itu, kita cuba mengulangi suasana yang pernah menjadi amalan kehidupan masa lalu kerana tiga empat hari selepas cuti berakhir, kita akan kembali kepada realiti trafik yang sesak, jadual kerja yang padat dan kos sara hidup yang semakin mencabar. Nostalgia raya kita yang indah bertembung dengan realiti Malaysia moden yang terkejar-kejar.

Kita sebenarnya sedar bahawa nostalgia kampung dan raya ini sebenarnya hanya lebih dekat dengan pengalaman generasi ‘Boomers’, ‘Gen X’ dan ‘Gen Y’ sahaja kerana mereka masih sempat merasai kehidupan kampung secara lebih langsung ketika kecil. Bagi generasi kita ini, ia memori tentang zaman kanak-kanak, sepupu-sepupu yang bermain bersama di rumah nenek yang sentiasa menjadi pusat tumpuan keluarga.

Bagi anak-anak mereka, generasi ‘Gen Z’ dan ‘Gen Alpha’ pula pengalaman itu mungkin tidak lagi sama. Ramai daripada mereka membesar sepenuhnya di bandar. Sekolah mereka di bandar, kawan-kawan mereka di bandar, dan kehidupan harian mereka juga berpusat di bandar. Kampung mungkin hanya tempat yang dikunjungi sekali-sekala, atau dalam sesetengah kes, mungkin tidak lagi mempunyai rumah keluarga yang aktif didiami.

Suatu ketika beberapa tahun akan datang nanti, tidak mustahil nostalgia balik kampung yang kuat ini akan terus pudar. Generasi muda ini tidak kenal moyang lalu mereka tidak lagi merasakan hubungan emosi yang sama seperti dirasai oleh ibu bapa mereka. Dunia mereka adalah di kawasan perumahan, pusat beli-belah atau di ruang digital. Itu sahaja. Kampung mak ayah mereka bukan tempat mereka.

Selama ini pun mereka balik kampung kerana mengikut orang tua sahaja. Seminggu kemudian, di bandar — mereka lebih gembira bertemu rakan sepermainan, menghadiri rumah terbuka kawan-kawan. Itulah hari raya sebenarnya untuk mereka. Ketika itu, kota besar tidak lagi sunyi-sepi pada waktu raya seperti hari ini kerana taman-taman perumahan, pangsapuri dan kondominium inilah kampung ‘generasi alpha’ ini. Sawah, pokok kelapa atau kebun getah asing bagi mereka.

Tapi, itu bukan salah mereka kerana mereka sudah berada di zaman yang lain. Mereka ada cabaran kehidupan tersendiri dan mereka juga ada penyelesaian tersendiri dalam meredakan tekanan cabaran yang mereka hadapi setiap hari itu. Takkanlah kita hendak suruh mereka teruskan tradisi balik beraya di kampung yang tak ada hubungan apa-apa lagi dengan mereka?

Cuma, persoalan generasi kita hari ini ialah jika kita mempunyai nostalgia kampung sebagai memori kolektif raya, apakah pula bentuk nostalgia raya bagi generasi yang akan datang, ya?

Tambahan pula, generasi ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza iaitu dunia gajet dan media sosial. Bagi mereka, kenangan agaknya disimpan di Instagram dan TikTok. Jika dahulu raya sinonim dengan kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah, generasi akan datang mungkin membina memori raya melalui cara yang berbeza — panggilan video dengan saudara yang jauh, ucapan digital yang disebar secara maya atau pertemuan kecil bersama rakan-rakan di bandar yang kini menjadi komuniti sebenar mereka. Agaknyalah!

Namun begitu, rasanya kita tak perlu risau. Ini tidak semestinya bermakna semangat Aidil Fitri akan hilang tetapi cara ia diekspresikan mungkin akan berubah. Nostalgia mereka nanti bukan lagi seperti kita. Itu sahaja.

Dalam saya duduk termenung, saya terfikir cara kita meraikan Aidil Fitri seperti yang saya tulis ini juga membawa satu ukuran atau gambaran zaman tentang adat dan budaya kita, antara dibuai nostalgia silam dengan mendepani realiti masa depan. Antara amalan tradisi Melayu desa dengan cara hidup Melayu urban. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah mula berkata, “lagu raya zaman sekarang ni tak sedap langsung. Tak ada jiwa”. Itulah petanda bahawa kita dan zaman kita sedang beransur-ansur memberi laluan kepada generasi sekarang yang memang berbeza sungguh pembawaannya.

“Apakan daya, masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya
Impian yang murni tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dan lagu
Dendang perantau…”

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.