`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, April 15, 2026

Mentaliti kelas pertama bermula dengan disiplin diri, titah Raja Muda Perlis

 Tuanku Syed Faizuddin Putra berkata pencapaian luaran semata-mata tidak memadai tanpa integriti, tanggungjawab dan kejelasan tujuan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan balas bekas presiden Singapura Halimah Yacob di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). (Gambar UniMAP)
PETALING JAYA:
 Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mentaliti kelas pertama bukan hanya diukur menerusi pencapaian luaran.

“Sebaliknya bermula standard dalaman diri berteraskan disiplin, integriti, tanggungjawab serta kejelasan tujuan,” titah baginda pada siri syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang menampilkan bekas presiden Singapura Halimah Yacob.

Bagind turut bertitah program seumpama itu mampu memperkukuh peranan UniMAP sebagai platform memperkasa wacana intelektual, selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan berintegriti.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga pro canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam syarahannya di Kampus Alam UniMAP, Halimah yang canselor Singapore University of Social Sciences (SUSS) menyampaikan syarahan bertajuk ‘Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan’.

Halimah menegaskan perubahan pesat dunia pekerjaan menuntut masyarakat menerima hakikat pembelajaran tidak terhenti selepas memperoleh ijazah, sebaliknya perlu berlangsung sepanjang hayat.

Menurutnya, pembangunan tenaga kerja juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan supaya pekerja kekal relevan serta berdaya saing dalam berdepan perubahan global.

“Dunia kini sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi dan pendigitalan yang bakal mengubah landskap pekerjaan.

“Perubahan akan terus berlaku, namun apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadapnya dengan disiplin dan tanggungjawab,” katanya.

Halimah turut berkongsi pengalaman Singapura membangunkan negara itu daripada sebuah ekonomi kecil kepada antara ekonomi maju dunia.

Jelasnya, ia dilakukan menerusi perancangan strategik jangka panjang, tadbir urus telus, serta pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Zaliman Sauli, dan Presiden SUSS Tan Tai Yong. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.