MSC berkata, arahan 12 Ogos lepas itu dibuat susulan pemeriksaan tapak JMG Perak ke atas lombong bijih timah RHT di Klian Intan.

Melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia, MSC berkata arahan berkuat kuasa 12 Ogos lepas itu dibuat susulan pemeriksaan tapak yang dijalankan oleh JMG Perak ke atas lombong bijih timah RHT di Klian Intan, selepas kejadian hujan lebat pada 3 Ogos, yang mana kira-kira 60mm taburan hujan direkodkan dalam tempoh sejam.
“Hujan yang agak lebat ini adalah melangkaui keupayaan reka bentuk maksimum 50mm infrastruktur saliran dan kolam tadahan sedia ada RHT, mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan saliran tertentu selain menyebabkan kolam tadahan melimpah,” katanya.
Kumpulan perlombongan dan peleburan bijih timah bersepadu global itu juga berkata, dalam keadaan operasi biasa, RHT mengendalikan sistem pengurusan air gelung tertutup tanpa pelepasan rutin air proses daripada operasi perlombongannya ke sungai berhampiran.
“Air proses dikekalkan dan dikitar semula di dalam takungan lombong, manakala kualiti air diuruskan melalui dos kapur bagi meneutralkan keasidan serta persampelan tetap dijalankan di tempat pemantauan dalam kawasan lombong,” kata MSC.
RHT telah memulakan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf yang diperlukan termasuk sedang bekerjasama dengan JMG Perak dalam pelan tindakan pemulihan yang komprehensif.
“Penggantungan sementara itu akan terus berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak daripada JMG Perak,” kata syarikat itu.
“Memandangkan tempoh penggantungan ini tertakluk kepada pelepasan oleh JMG Perak, kesan kewangan kepada kumpulan tidak dapat ditentukan buat masa sekarang.”
MSC berkata, operasi peleburan bijih timah kumpulan itu, yang membentuk segmen perniagaan teras berasingan, tidak terjejas oleh arahan tersebut dan terus beroperasi seperti biasa. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.