`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Tuesday, August 18, 2026

Potensi El Nino Super kini lebih 90%, boleh setanding 1997/98

 Intensiti El Nino didapati terus mengukuh, dijangka capai kemuncak pada penghujung 2026, menurut MetMalaysia.

Konfigurasi iklim global terkini tunjuk fenomena El Nino 2026-2027 berpotensi jadi antara paling ekstrem dalam rekod, kata MetMalaysia. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Fenomena El Nino berpotensi sehingga lebih 90% untuk mencapai kategori sangat kuat, atau El Nino Super, antara Oktober dan Disember, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Anip.

Beliau berkata, perkembangan itu berdasarkan trend menaik yang sangat signifikan dalam Relative Oceanic Niño Index (Roni) sejak pertengahan tahun ini.

Tambahnya, pencerapan terkini suhu laut mingguan melebihi 1.8 darjah Celsius di atas purata klimatologi.

“Situasi ini menunjukkan intensiti El Nino terus mengukuh dan dijangka mencapai kemuncak pada penghujung 2026,” katanya, lapor Bernama.

“Potensi El Nino mencapai kategori sangat kuat pada Oktober hingga Disember 2026 adalah tinggi dengan kebarangkalian melebihi 90% berdasarkan ramalan terkini dikeluarkan model-model iklim antarabangsa.”

Mohd Hisham berkata, konfigurasi iklim global terkini menunjukkan fenomena El Nino 2026-2027 berpotensi menjadi antara paling ekstrem pernah direkodkan dan dijangka melepasi atau sekurang-kurangnya menyamai impak El Nino sangat kuat pada 1997 hingga 1998 serta 2015 hingga 2016.

Rekod suhu tertinggi dicerap pada episod El Nino 1997/98 ialah di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis, iaitu 40.1 darjah Celsius pada 9 April 1998 dan episod 2015/16 menyaksikan suhu 39.3 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Batu Embun, Jerantut, Pahang pada 10 April 2016.

Mohd Hisham berkata, pengalaman semasa episod El Nino Super tahun-tahun tersebut menunjukkan negara mengalami keadaan cuaca yang lebih panas dan kering daripada kebiasaan, disertai pengurangan taburan hujan yang ketara di beberapa kawasan pada penghujung musim Monsun Timur Laut dan fasa peralihan monsun antara Februari hingga Mei.

“Berdasarkan pola episod terdahulu serta kesan daripada pemanasan global sejak kebelakangan ini, peningkatan suhu kali ini dijangka lebih ketara bermula Februari hingga Mei tahun depan,” katanya.

Mohd Hisham berkata, episod El Nino kuat pada kali ini dijangka berlaku bersama dengan fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) positif, yang berpotensi menguatkan kesan pengurangan jumlah hujan di rantau ini.

Menurutnya, El Nino mengurangkan bekalan kelembapan udara dari Lautan Pasifik, manakala IOD positif pula mengurangkan bekalan kelembapan udara dari Lautan Hindi.

“Kombinasi kedua-duanya meningkatkan kebarangkalian keadaan yang lebih panas dan kering serta tempoh bilangan hari tanpa hujan lebih panjang di rantau selatan Asean, termasuk Malaysia,” katanya.

Mohd Hisham memberi jaminan MetMalaysia akan sentiasa memantau perkembangan kedua-dua fenomena ini bersama-sama dengan keadaan cuaca dan risiko kebakaran hutan serantau.

Semasa fasa IOD positif, katanya, suhu permukaan laut di bahagian timur Lautan Hindi berhampiran Indonesia secara relatifnya lebih sejuk berbanding di bahagian barat Lautan Hindi.

“Keadaan ini lazimnya mengurangkan pembentukan awan dan hujan di sekitar Indonesia serta di sebahagian rantau Asia Tenggara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.