Cadangan dikemukakan dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KPKT hari ini, kata Nga Kor Ming.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, cadangan itu dikemukakan dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KPKT hari ini, yang menghimpunkan 350 pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bagi mendapatkan pandangan dan input dalam merangka inisiatif yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
Beliau berkata, semua cadangan itu akan diteliti daripada aspek kebolehlaksanaan, keutamaan serta kemampuan kewangan semasa kerajaan.
“Hal ini juga penting bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan bukan sahaja dibelanjakan dengan berhemat, tetapi diterjemahkan kepada hasil, impak dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Nga berkata, pihak berkepentingan turut mencadangkan untuk mewujudkan ‘Command Centre’ bagi menyokong agenda bandar pintar, penyediaan insentif bagi meningkatkan kadar kitar semula serta mekanisme pembiayaan hijau bagi menggalakkan pelaburan dalam teknologi dan penyelesaian pengurusan sisa.
Cadangan lain meliputi peningkatan geran tahunan bagi Balai Bomba Sukarela, penyediaan kemudahan kesihatan bagi menghadapi cabaran masyarakat menua serta penambahbaikan infrastruktur perbandaran bagi menyokong inisiatif bandar selamat.
Beliau berkata, KPKT akan mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Kewangan pada 3 Sept bagi membincangkan cadangan inisiatif yang boleh diketengahkan untuk pertimbangan kementerian itu.
Sementara itu, Nga berkata, lima daripada enam inisiatif signifikan di bawah Inisiatif Belanjawan tahun ini telah melepasi sasaran ditetapkan, manakala satu lagi berada pada landasan untuk mencapai atau melepasi sasaran menjelang akhir tahun ini.
Setakat 31 Julai, katanya, sebanyak 304 projek penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam dilaksanakan berbanding sasaran 200 projek, manakala 102 projek pembinaan Gerai Madani dan naik taraf pasar awam uzur dilaksanakan berbanding sasaran 60 projek.
Bagi naik taraf sistem perparitan dan longkang pula, sebanyak 154 projek dilaksanakan berbanding sasaran 150 projek, manakala penyelenggaraan tandas awam di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencatat pencapaian 734% dengan 367 projek berbanding sasaran 50 projek.
“Program Bomba Bersama Rakyat mencapai 89% dengan 57 daripada 64 program dilaksanakan setakat 31 Julai,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.