Peminjam PTPTN berkata mereka perlu membayar hutang tersebut walaupun PTPTN dalam proses mengemaskini data sebelum membuat penangguhan bayaran balik.
PETALING JAYA: Semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membayar hutang seperti biasa walaupun gaji mereka di bawah RM4,000 kerana dasar ini masih dalam penelitian dan belum ada pengumuman rasmi mengenai penangguhan pembayaran.
Peminjam PTPTN, Puteri Ezurin berkata PTPTN baru berhasrat melaksanakan penangguhan tersebut sedangkan semua peminjam sudah mengemaskini maklumat mereka.
“Saya kurang pasti mengapa perlu maklumat dikemaskini, akan tetapi saya berpendapat ia bertujuan untuk PTPTN mengenal pasti individu yang masih mempunyai hutang dan pelbagai rekod individu.
“Penangguhan yang dilakukan oleh kerajaan PH adalah untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerajaan prihatin terhadap isu sosial masyarakat yang merangkumi pelbagai aspek.
“Mungkin ini adalah pancing PH untuk meraih undi dari golongan muda yang banyak membuat pinjaman PTPTN,” katanya kepada FMT.
Isnin lalu, Peminjam PTPTN meminta peminjam mengemukakan maklumat pendapatan dalam tempoh 9 hari sehingga 25 Julai depan.
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata ia perlu dilaksana bagi mengumpul data terkini sebelum penangguhan bayaran balik untuk peminjam berpendapatan bawah RM4,000 dilaksanakan, sebaik kajian teliti selesai.
“Semua peminjam yang patut membuat bayaran balik dan masih mempunyai baki dikehendaki mengemas kini maklumat secara dalam talian pada portal rasmi PTPTN.
“Sekiranya peminjam gagal mengemas kini maklumat dalam tempoh itu, PTPTN menganggap peminjam tidak berhasrat memohon penangguhan,” katanya.
Menurut Umar (bukan nama sebenar), jika seseorang sudah membuat pinjaman PTPTN, mereka perlu membayarnya walaupun PTPTN dalam proses pengumpulan data terkini.
“Jadi kalau anda pinjam, ada kerja, bayar sahaja hutang anda walaupun sedikit. Lagipun dasar ini masih dalam penelitian, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai penangguhan. Jika anda berhasrat untuk membuat penangguhan bayaran, sila kemas kini maklumat. Jika dasar ini diluluskan, pihak PTPTN akan umumkan.
“PTPTN baru berhasrat nak laksanakan penangguhan tersebut. Mereka hanya minta kita kemaskini akuan pendapatan sebab nak lihat berapa ramai peminjam yang berminat membuat penangguhan. Jadi penangguhan ini belum lagi berlaku dan hanya akan berlaku setelah semua perkara diteliti oleh pihak PTPTN,” katanya.
Seorang lagi peminjam PTPTN yang enggan namanya didedahkan, berkata beliau tidak berapa gembira apabila segelintir penghutang mengambil mudah mengenai proses pembayaran hutang mereka.
“Saya tak gembira sangat sebab hutang tetap hutang. Semua peminjam wajib bayar hutang PTPTN. Jika lambat bayar, lambat selesai. Saya sebagai peminjam PTPTN tetap akan membayar seperti biasa dan jika kita semua nak tunggu gaji RM4,000, sampai bila hutang kita tidak dapat diselesaikan.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.