`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 6, 2018

LAUNGAN ‘HIDUP NAJIB’ AKAN BERKUMANDANG 8 DISEMBER

SAYA amat tertarik dengan lakaran kartun Zunar dan beberapa kartunis lain dengan tajuk dan motif  kelakar tapi penuh dengan mesej dan pesanan.
Jika lakaran seperti yang dilampirkan ini dilukis semasa zaman Najib Razak memerintah dahulu sudah pasti bukan sahaja lakaran tersebut dirampas dan dimusnahkan, malah pelukisnya akan dipenjarakan.
Sebagai contoh Zunar bukan sahaja pernah dikasari tapi pejabat beliau digeledah. Sembilan tajuk buku karyanya beserta ribuan buah jilidnya turut dirampas.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga pernah dilokapkan sebanyak lima kali dan dikenakan sembilan pertuduhan di bawah beberapa akta dan undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Multimedia, Kanun Keseksaan, Akta Imigresen dan beberapa undang-undang lain. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjarakan selama 45 tahun.
Saya sendiri pernah bermalam di lokap polis Jinjang Kuala Lumpur bersama Tian Chua (mantan MP Batu), Hishamuddin Rais, Adam Adli, Haris Ibrahim dan beberapa orang rakan lain.
Kesalahan kami ialah kerana menuduh Umno/BN menipu dalam PRU13 dahulu, justeru kami dituduh dibawah Akta Hasutan.
Selepas lima tahun dan selepas rakyat menumbangkan Kerajaan Umno/BN barulah kes kami selesai.
Polis di bawah Khalid Abu Bakar, bekas peguam negara Apandi Ali dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad adalah ulat dan alat Najib dan Rosmah Mansor ketika itu. Kerja mereka ialah menangkap siapa saja yang dilihat menentang Najib.
Mereka mewah dan bermaharajalela.
Boleh dibayangkan apakah tindakan Najib dan Rosmah terhadap Zunar dan kartunis lain termasuk mereka yang tidak sebulu dengannya, yang mewah ialah pemakan dedak – cash is king.
Walaupun dibenci dan dizalimi namun masyarakat antarabangsa amat kagum dengan lakaran-lakaran beliau.
Zunar telah dihormati dengan beberapa anugerah berprestij seperti Courage In Editorial Cartooning Award pada 2012 dan International Press Foundation Award, New York pada 2015.
Selain itu, beliau menerima Cartooning For Peace Award pada 2016 di Geneva daripada Kofi Annan, mantan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa penghormatan lain.
Di satu segi Najib telah berjaya memperdaya dan menipu masyarakat antarabangsa dengan slogan kebebasan bersuara, dasar kesederhanaan dan amalan demokrasi tulen yang kononnya menjadi pegangan kerajaannya sedangkan apa yang dilakukan terhadap musuh politiknya lain sekali.
Sebagai contoh kekerasan dilakukan terhadap perhimpunan Bersih yang mendesak setiap pilihan raya mestilah bersih dari sebarang kecurigaan dan salah laku, dan dalam masa yang sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak membenarkan rakyat berhimpun di padang Dataran Merdeka.
Ramai pemimpin Bersih dipukul, diheret dan dihumbankan ke dalam trak polis. Perkara yang sama berlaku terhadap penuntut universiti yang berhimpun mendesak GST dihapuskan.
Itulah cara Najib dan kerajaan Umno/BN memerintah.
Perbezaan begitu ketara sekali apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri tidak teragak-agak untuk membenarkan rakyat berhimpun pada 8 Disember dengan syarat mereka mesti menghormati Perlembagaan dan undang-undang.
Tidakkah Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno dan pengerusi BN yang pernah melakukan apa saja yang boleh bagi menggagalkan segala apa yang hendak dilakukan oleh pembangkang ketika itu sedar dan merasa malu dengan kelulusan yang diberi bagi memudahkan perhimpunan pada 8 Disember nanti?
Perhimpunan kali ini agak unik sedikit kerana buat pertama kalinya Umno dan PAS akan bersama seperti pasangan pengantin tua yang hampir senja.
Bagi menjaga air muka masing-masing, Zahid dan Abdul Hadi Awang terpaksa meneruskan perhimpunan pada 8 Disember ini bagi membantah ICERD sedangkan kerajaan sendiri telah mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan tidak akan menandatangani deklarasi tersebut.
Oleh kerana pelbagai publisiti telah dibuat, begitu juga ribuan wang ringgit telah dibelanjakan, maka perhimpunan ini suka tak suka terpaksa diteruskan dengan alasan yang remeh.
Saya dan ramai lagi akan sama-sama turun padang jika sekiranya perhimpunan itu diadakan bagi menuntut dari Najib dan keluarganya memulangkan semula duit rakyat yang disamun mereka melalui 1MDB.
Begitu juga beratus juta ringgit lesap daripada Tabung Haji yang mana tujuh juta orang Islam terutama makcik dan pakcik di kampung menabung di lembaga itu bagi memudahkan mereka ke Mekah.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan perhimpunan itu akan diadakan bagi melakukan doa dan solat kesyukuran kerana kerajaan tidak akan menandatangani ICERD.
Hadi pula dengan alasan hendak mengajar menteri yang tidak menghormati perdana menteri.
Zahid dan beberapa ahli Umno pula mahu memprotes ICERD.
Dengan berbagai alasan diberikan mereka, ini semua membuktikan mereka ini bodoh sombong yang tak boleh diajar.
Bukankah lebih bermakna jika mereka gunakan perhimpunan ini menuntut Najib, Rosmah dan Jho Low memulangkan kembali harta rakyat yang mereka rompak dari senyap seribu bahasa dan berpeluk tubuh tidak bersuara.
Yang akan berkumandang di udara ialah laungan “Takbir” dan “Hidup Najib”  bukannya “Najib, pulangkan duit kami”.

Tamrin Ghafar adalah bekas ahli Parlimen Batu Berendam dan bekas pengerusi Mara.
THE MALAYSIAN INSIGHT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.