syafil.syazwan@hmetro.com.my
PELAKON, Fauzi Nawawi, 46, memberi masa sehingga 31 Ogos ini kepada wanita yang menghilangkan diri selepas berhutang dengan isterinya, menyerah diri.
Sekiranya wanita yang dikenali sebagai Nurul Ashikin itu tidak muncul, dia dan isterinya yang juga pelakon, Lisdawati akan mengambil tindakan undang-undang.
"Sebelum ini, isteri dah dedahkan mengenai wanita ini di Instagramnya, namun masih tiada sebarang berita atau tindakan daripada pihaknya.
"Jadi, saya dan isteri beri masa kepadanya sehingga Hari Kebangsaan (31 Ogos) untuk dia tampil kalau benar-benar mahu rasa 'merdeka'," katanya kepada Harian Metro.
Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi berkata, dia dan isteri sudah memberikan masa dan peluang yang cukup lama.
"Sebelum ini, kami tak mahu ambil tindakan dan kalau boleh tak mahu membawa hal ini ke peringkat undang-undang.
"Sebabnya, saya dan isteri bersimpati mana tahu kalau dia mempunyai masalah keluarga atau dengan suaminya.
"Tapi, kami sendiri pun dah mencarinya sehingga ke rumah, namun katanya dia sudah berpindah ke tempat lain," katanya.
Fauzi juga menegaskan, dia perlu mengambil tindakan undang-undang untuk mengelak insiden sama terkena kepada orang lain.
"Bayangkan, kalau saya senyap dan tidak mengambil tindakan undang-undang, orang seperti wanita ini tidak akan menerima pengajaran.
"Tak mustahil kalau perkara sama akan berulang dan artis lain pula menjadi mangsa seperti isteri," katanya.
Terdahulu, pada pertengahan Jun lalu, Lisdawati memuat naik foto seorang wanita berserta kad pengenalan wanita yang dikatakan berhutang dengannya di Instagram.
Lisdawati juga meminta pengikutnya di laman sosial itu membantu mengesan wanita itu untuk berbincang secara baik. - nst
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.