PETALING JAYA: Kumpulan pencinta alam sekitar mempersoalkan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengenai punca kematian 12 Orang Asli Kuala Koh yang sehingga hari ini tidak dapat disahkan.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) hairan dengan pengumuman tersebut kerana beberapa nama penyakit dilontarkan dalam media sejak bulan lalu.
“Bermula pada 9 Jun lalu dikatakan tuberculosis, diikuti radang paru-paru dan campak,” kata presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil kepada FMT.
Dzulkefly pada sidang media pagi tadi berkata hasil bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian Orang Asli berkenaan tidak dapat disahkan. Beliau menambah keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi.
Nasib Orang Asli suku Bateq di Gua Musang itu mendapat perhatian umum selepas lebih 40 dimasukkan ke hospital kerana diserang penyakit bulan lepas. Seramai 15 orang termasuk seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meninggal dunia.
“Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ini merupakan satu kenyataan yang mengelirukan dan menimbulkan kemarahan dan tidak puas hati,” katanya.
Shariffa berkata misteri punca kematian Orang Asli berkenaan memberi gambaran ada cubaan untuk menyembunyikan kegagalan kerajaan melindungi penempatan Orang Asli.
“Atau untuk mengalihkan tumpuan terhadap aktiviti lombong yang sudah tamat tempoh tapi masih aktif menjalankan perlombongan, pembalakan dan penggunaan baja kelapa sawit yang berleluasa sekeling Aring 10?” katanya.
Sebelum ini FMT melaporkan, Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia menggesa kerajaan mendedahkan laporan bedah siasat ke atas semua 15 mangsa berkenaan.
Ketika itu, presidennya, Dr Steven Chow mengesyaki kematian mereka berpunca daripada keracunan bijin mangan akibat aktiviti perlombongan berdekatan penempatan mereka.
Steven ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya sedia membentangkan hasil ujian sampel air daripada Sungai Pertang yang menjadi sumber bekalan air penduduk Kuala Koh.
FMT dimaklumkan, ujian yang dijalankan pada 10hb dan 11hb Jun itu mendapati air sungai itu mengandungi 2.5mg/l bijih mangan (manganese) bersamaan 2,500% berbanding paras biasa.
Sebelum ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dilaporkan menyita lombong bijih mangan di Aring 11 Kuala Koh, Gua Musang sejak 11 Jun lalu.
Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob pada 30 Jun lalu dilaporkan berkata, syarikat perlombongan itu memiliki lesen yang dikeluarkan kerajaan negeri, tetapi tiada skim kebenaran melombong daripada JMG. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.