`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 6, 2019

Saya Tidak Bersetuju Dengan Saranan Mahathir Agar Kesemua Orang Melayu Bersatu Di Bawah PPBM

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Saya bersetuju dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir bahawa adalah benar orang Melayu sudah berpecah dan berkecamuk. Perpecahan tersebut bertambah buruk dengan wujudnya satu lagi parti politik orang Melayu dengan menjadikan terlalu banyak parti politik untuk orang Melayu lalu orang Melayu berpolitik tidak tentu arah hingga menjadi hanyir.
Dengan terlalu banyak parti politik untuk orang Melayu, fokus dan agenda untuk orang Melayu sudah berkecamuk dan hanya untuk kepentingan segelintir pihak yang berkepentingan sahaja.
Saya turut bersetuju dengan Tun Dr. Mahathir jika orang Melayu kuat dan bersatu padu, nescaya segala perancangan, agenda dan fokus untuk orang Melayu terutamanya untuk sektor ekonomi, pembangunan modal insan dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu dapat di capai dengan cemerlang.
Namun saya juga percaya ramai yang tidak menjangkakan orang Melayu berada dalam keadaan begitu lemah seperti sekarang terutamanya selepas PRU 14 yang lalu. Bukan kerana UMNO dan BN tumbang sebagai Kerajaan Persekutuan tetapi kerana orang Melayu merasa cukup terkesan betapa kurangnya jumlah kerusi Parlimen mahupun DUN yang di kuasai orang Melayu yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan polar kuasa pemerintahan dalam negara walaupun orang Melayu adalah majoriti dan dominan di dalam negara.
Lalu saya tidak bersetuju dengan saranan Tun Dr. Mahathir agar kesemua orang Melayu bersatu di bawah satu parti iaitu PPBM. Saya merasakan saranan tersebut sudah agak lapuk dan ketinggalan arus perdana. Saya sarankan agar Tun Dr. Mahathir dan PPBM untuk bersama dengan PAS dan UMNO dalam agenda muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan masa kini.
PAS dan UMNO sudah memulakan agenda perpaduan ummah yang lebih besar matlamatnya dari hanya mahu menyelamatkan kroni dan legasi. Muafakat perpaduan ummah yang sedang di usahakan bukan ideologi ataupun agenda sempit politik perkauman yang seperti di hebohkan.
Ia adalah bertujuan untuk mengangkat martabat dan politik orang Melayu di tempat yang sepatutnya sesuai dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan tanpa meminggirkan mana – mana kaum mahupun agama. Ia juga bertujuan untuk memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan juga kedaulatan Raja – Raja Melayu yang menjadi lambang dan tonggak negara.
Setelah hampir 62 tahun kita merdeka, orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam pelbagai sudut samada ekonomi, pendidikan mahupun pembangunan modal insan. Apa yang di usahakan dalam muafakat perpaduan ummah bukan hanya sekadar untuk mengangkat kembali martabat dan kuasa politik orang Melayu, tetapi adalah untuk meletakkan kembali agenda dan fokus untuk orang Melayu di tempat yang betul dan sepatutnya agar orang Melayu maju, berkaliber dan mampu berdaya saing samada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Oleh itu saya menyeru Tun Dr. Mahathir dan semua orang Melayu agar bersama – sama PAS dan UMNO dalam agenda perpaduan ummah. Cukup – cukuplah dengan apa yang telah berlaku, ianya jelas tidak menguntungkan sesiapa. Umpama pepatah Melayu “ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya “. Jangan jadikan diri kita sendiri “ Petualang “ yang menghancurkan masa depan dan kesinambungan politik orang Melayu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.