
LANGKAWI: Seramai 37 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Atas di Mukim Padang Mat Sirat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa, malam ini, berikutan banjir akibat hujan sejak 4 pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus, berkata PPS berkenaan dibuka lebih kurang 8 malam ini bagi menempatkan semua mangsa banjir itu.
“Air mula naik sehingga memasuki rumah penduduk kampung ini sekitar 6 petang tadi. Terdapat kawasan di beberapa mukim di daerah ini terjejas dengan banjir seperti Mukim Ayer Hangat dan Kuah namun setakat ini tiada PPS dibuka di mukim berkenaan berikutan air telah surut,” katanya dalam kenyataan.
Shahfikri berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa paras air sungai utama serta memantau kawasan yang berpotensi untuk banjir.
Tinjauan Bernama malam ini mendapati air Sungai Melaka di sini mengalir deras dan melimpah ke rumah penduduk sekitar Kampung Atas serta Pasar Awam Padang Mat Sirat di Mukim Padang Mat Sirat.
Sementara itu, lapan rumah di Kampung Sungai Bongkok di Mukim Gurun, daerah Kuala Muda turut terjejas dengan banjir kira-kira 5 petang tadi berikutan hujan lebat selama tempoh melebihi tiga jam namun tiada PPS dibuka berikutan air telah surut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.