`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 22, 2022

Anwar bimbang sentimen, retorik kaum terus diapikan

 

Anwar Ibrahim mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani untuk mengekang perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan negara.

PETALING JAYA: Sentimen dan retorik perkauman yang terus diapikan oleh pihak terdesak menimbulkan kebimbangan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, di tengah-tengah situasi penting bagi pembentukan kerajaan baharu.

Beliau yang juga presiden PKR, berkata usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan bertanggungjawab serta stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan.

“Usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Semalam, polis memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ini berikutan polis mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) serta pembentukan kerajaan.

“Polis memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.