`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 22, 2022

Penjual buah maut ditikam

 

Polis berkata motif pembunuhan masih dalam siasatan dan seorang wanita Vietnam ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SEREMBAN: Seorang pembekal buah-buahan ditemukan maut dengan kesan luka pada rusuk kanan dipercayai ditikam seorang wanita yang tinggal bersamanya di sebuah unit apartmen di Taman Bukit Delima, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof, berkata lelaki warga tempatan berusia 50 tahun itu ditemukan mati dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan kira-kira 9.30 malam selepas pihaknya mendapat maklumat daripada pegawai keselamatan apartmen itu.

“Sebaik tiba, kita lihat ada kesan darah di sepanjang laluan dalam rumah dan kita dapati ada seorang wanita warga Vietnam berusia 33 tahun berada dalam keadaan panik dan kesedihan. Hubungan sebenar mereka masih dalam siasatan.

“Maklumat awal saksi mengatakan terdengar pergaduhan antara kedua-duanya selain wanita menangis kira-kira pukul 9 malam. Kita percaya semasa pergelutan pisau tertusuk di rusuk kanan mangsa, namun kita sedang siasat kejadian sebenar,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemukan sebilah pisau pemotong sayur di dapur rumah yang dipercayai digunakan ketika pergaduhan.

Nanda berkata, wanita terbabit dipercayai masuk ke negara ini pada Jun lepas, namun pihaknya akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan wanita berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, setakat ini dua saksi dipanggil memberi keterangan selain menyeru saksi lain yang melihat kejadian untuk tampil memberikan keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Mohd Saufi Malik di talian 06 6033222. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.