PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang sedia mengemukakan “bukti” susulan mendakwa DAP membawa ideologi “komunis” dan “anti-tuhan” di mahkamah, selain menegaskan tidak akan menarik balik segala dakwaan dibuat.
Katanya, beliau tidak gentar malah tidak akan berganjak daripada pendirian itu walaupun berdepan pelbagai desakan daripada pimpinan DAP.
“Saya tidak akan mohon maaf atau tarik balik (kenyataan itu). Eloklah (mereka) buat laporan polis, memang saya kenal beberapa orang (pimpinan DAP) yang tak percaya tuhan. (Mereka) pernah bercampur dengan kami, tak perlu sebut nama.
“Nanti jumpalah di mahkamah. Saya boleh tunjuk bukti,” katanya menurut Berita Harian.
DAP sebelum ini mencabar Hadi membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa ada pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada puak komunis dan menolak institusi raja.
Hari ini, Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Hadi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah termasuk mengaitkannya dengan fahaman komunis dan anti-tuhan, dalam majlis di Temerloh, kelmarin.
Laporan itu dibuat Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Hadi yang juga timbalan presiden Perikatan Nasional (PN), turut mendedahkan pengaruh komunis dalam pentadbiran DAP terserlah ketika mentadbir Pulau Pinang.
“Ini nyata, masa (DAP) perintah Pulau Pinang, sama seperti apa yang berlaku di Singapura. DAP tonjolkan calon Melayu sebagai alat politik, macam Lee Kuan Yew pernah buat di Singapura, gunakan parti Melayu.
“Sebab itu mereka nak lantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sebab Anwar ikut (arahan) dia,” dakwanya.
Calon bagi Parlimen Marang itu turut memberitahu telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung isu berkenaan.
“Polis dah panggil saya ke Bukit Aman. (Pada mulanya) polis nak datang ke rumah, tetapi saya pilih untuk pergi (Bukit Aman). Yang datang (uruskan) pun polis (berbangsa) India, bukan Melayu. Jika (polis) Melayu, mungkin boleh cetus sentimen kaum dan sebagainya.
“Ada buktinya yang saya telah kemukakan kepada Bukit Aman,” katanya.
Walaupun mengakui bukan semua pimpinan DAP dipengaruhi ideologi komunis, katanya, PAS tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti itu dan PH kerana mendakwa agenda politik mereka sangat “bahaya”.
“Dalam PH ini ada macam-macam, komunis dan bekas komunis. Kita masih ingat pemimpin DAP minta bawa balik abu mayat Chin Peng (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya).
“Selain itu, ada dalam kalangan mereka ini liberal, menghalalkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), ada juga yang bagi dan terima rasuah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.