`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 6, 2024

Mimpi jumpa nabi

 

Mohsin Abdullah

Pemimpin PAS, dalam konteks penulisan ini, Presiden Abdul Hadi Awang, saya kira bertuah dan bernasib baik. Orang PAS — atasan, pertengahan, bawahan — semua taat dan akur dengan beliau. Atau istilah yang mereka gunakan wala’.

Tetapi menurut satu rencana siaran lidah rasmi PAS, Harakahdaily, pada September 2018, “secara pokoknya taat merupakan salah satu di antara komponen kecil yang membentuk wala'”. Apa pun bukan definisi wala’ yang mahu diperkatakan di sini.

Tumpuan artikel ini ialah reaksi PAS melalui Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari terhadap reaksi berhubung cerita Hadi bermimpi jumpa Nabi Muhammad. Reaksi ke atas reaksi.

PAS mempertahankan presidennya yang membawa cerita mimpi itu dan menegaskan bahawa tiada siapa yang memaksa cerita itu mesti dipercayai.

Apa yang berlaku ialah tular video ucapan Hadi menceritakan beliau bermimpi Nabi Muhammad datang ke Rusila di Marang, Terengganu iaitu kampung halaman Hadi dan meminta presiden PAS itu mendamaikan perbalahan di antara golongan Sunni dan Syiah.

Dikatakan mimpi itu dialami Hadi hampir 10 tahun lalu, menurut Malaysiakini.

Tentulah kata-kata Hadi itu mendapat pelbagai reaksi khususnya golongan yang tidak sehaluan dengan PAS. Lantas reaksi PAS yang disebut tadi. Fadhli juga memberitahu presidennya mendedahkan kisah tersebut dalam program Ijtima Tarbawi yang diadakan di Kelantan.

Menurut beliau, Hadi bercerita mengenai ‘pengalaman mimpi’ itu bukan untuk ‘memuja diri sendiri’.

Setelah berkata terserah kepada orang ramai sama ada mahu mempercayai cerita mimpi itu atau tidak, Fadhli berkata, “Adapun kami sebagai ‘anak-anak’ beliau dalam PAS kami memilih untuk percaya. (Justeru) apa yang anda nak kalut ?”

Nyata ‘anda’ yang beliau sebut merujuk golongan yang pertikai akan mimpi Hadi jumpa nabi.

Memang sudah menjadi pengetahuan umum orang PAS seperti dikata Fadhli menganggap diri mereka ‘anak’ sekali gus Hadi ‘ayah’. Malah di Terengganu ramai ahli dan penyokong PAS yang menggelar beliau ‘ayah chik’. Saya tidak tahu sama ada orang bukan PAS turut memberi Hadi gelaran itu.

Yang jelas PAS (seperti kebanyakan parti politik) menganggap ia bagai satu keluarga besar. Maka dalam keluarga ayah memang nombor wahid and he knows best. Kata-kata ayah mesti dipercayai dan arahan ayah dipatuhi. Anak yang melawan ialah anak derhaka.

Apabila ulama terkenal Ahmad Awang mencabar Hadi untuk jawatan presiden pada pemiihan PAS 2015, beliau dilihat atau dituduh telah menderhaka. Pedulikan apa yang Ahmad lakukan berdasarkan prinsip demokrasi yang PAS sendiri dakwa menjadi amalan parti.

Apa yang berlaku pada pemilihan parti tahun itu semua sudah maklum. Berikutan itu tertubuhlah Parti Amanah Negara. Bukanlah rahsia majoriti orang PAS membenci Amanah (bukan sekadar tidak suka). Amanah dianggap musuh ketat PAS sehingga ke hari ini.

Ahmad Awang, Mohamad Sabu dan rakan-rakan yang menentang orang yang sepatutnya ‘ayah’ mereka terus diibaratkan ‘penderhaka’ dan ‘pengkhianat’ keluarga PAS.

Mengulangi apa yang saya kata di awal artikel ini, yakni pemimpin PAS dalam konteks penulisan ini bahawa presidennya bertuah dan bernasib baik kerana punya ahli yang taat setia. Ini bukan satu pendedahan atau perkara baharu. Ini ramai sudah tahu. Kata-kata si ketua penerangan ‘kami sebagai anak beliau’ iaitu Hadi sekadar memberitahu apa yang sudah diketahui. Menyatakan apa yang nyata.

Berbalik kata-kata beliau mengenai mimpi Hadi yang tiada siapa yang dipaksa untuk mempercayainya. Lalu saya memetik seorang pembaca yang menyuarakan pandangan di ruangan komen portal Malaysiakini. Beliau menulis:

“Baguslah kalau betul. Nak tanya sikit aje. Macam mana kenal rupa Nabi Muhammad? Boleh cam ke? Macam mana nak confirm dia betul betul nabi? Minta pencerahan sedikit.”

Bagi saya itu pertanyaan menarik. - FMT 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.