`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 5, 2024

Sabah Air belum mohon lesen perkhidmatan udara, kata menteri pengangkutan

 

Free Malaysia Today
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tidak menerima permohonan bagi lesen perkhidmatan udara yang membolehkan Sabah Air melakukan penerbangan berjadual dan perkongsian kod dengan syarikat lain.

PETALING JAYA
Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) belum memohon lesen perkhidmatan udara (ASL) yang membolehkannya melakukan penerbangan berjadual dan beroperasi secara perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata ketika ini syarikat itu memegang permit perkhidmatan udara (ASP) yang membolehkannya menjalankan penerbangan tidak berjadual.

“Setakat ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tidak menerima sebarang permohonan bagi lesen perkhidmatan udara yang membolehkan Sabah Air melakukan penerbangan berjadual dan perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) yang meminta penjelasan berhubung pemberian lesen dan hak mendarat kepada Sabah Air supaya dapat menambah penerbangan selain beroperasi menerusi perkongsian kod dengan syarikat lain.

Tahun lalu, media melaporkan SAASB merancang menubuhkan syarikat penerbangan milik Sabah dan beroperasi menjelang tahun ini.

Pengerusinya Kenny Chua juga berharap dapat menandatangani perjanjian sewaan sekurang-kurangnya tiga pesawat menjelang akhir tahun lalu, tanpa terhad kepada Airbus atau Boeing.

Chua berkata syarikat penerbangan baharu itu akan mengikuti model perniagaan kos rendah yang boleh bersaing dengan pengendali sedia ada.

Laluan yang sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly dan AirAsia.

Tiga nama berpotensi untuk syarikat penerbangan itu iaitu Sabah Airlines, Air Borneo atau Borneo Airlines.

Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang perkembangan atau pengumuman berhubung perkara itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.