Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata langkah itu perlu dilaksanakan secara teliti.


Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, secara asasnya langkah itu boleh menjadi mekanisme kawalan demokratik yang berkesan, khususnya bagi memastikan kepimpinan negara tidak dikuasai terlalu lama oleh individu tertentu.
Bagaimanapun, perunding kanan Global Asia Consulting itu memberi amaran had tempoh jawatan berisiko menjejaskan kesinambungan dasar jangka panjang jika pemimpin terpaksa berundur sebelum visi nasional sempat direalisasikan.
Beliau merujuk pengalaman negara jiran, Indonesia, yang menyaksikan pembangunan Bandar Nusantara didakwa terbantut selepas Joko Widodo tidak lagi menjadi presiden apabila mencapai had 10 tahun memegang jawatan.
“Jadi, ini merupakan langkah positif untuk mencegah salah guna kuasa, namun pada masa sama ia perlu dilaksanakan secara teliti dan berhati-hati.
“Kerajaan perlu menilai keseimbangan antara pembaharuan kepimpinan dan kestabilan institusi,” katanya kepada FMT.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri kepada 10 tahun pada sesi Dewan Rakyat tahun ini.
Perkara itu turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, RUU berkenaan wajar disokong semua parti kerana memberi kesan positif kepada kematangan politik negara.
“Tempoh ini membuka laluan kepada generasi baharu, dan parti-parti politik akan berusaha memastikan mereka sentiasa mempunyai barisan pemimpin yang berwibawa,” katanya.

Menyifatkan cadangan itu sebagai satu reformasi positif selari dengan aspirasi rakyat, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, berkata penetapan had tempoh jawatan penting bagi mengelakkan penumpuan kuasa kepada seorang individu.
“Jika kuasa dipegang terlalu lama oleh seorang tokoh, institusi boleh melemah, budaya kepimpinan kolektif terjejas dan risiko salah guna kuasa meningkat,” katanya.
Namun, beliau menegaskan RUU tersebut perlu dirangka dengan teliti dan mencadangkan ia disertai pembaharuan peranan Parlimen serta mekanisme peralihan kuasa bagi mengelakkan ketidaktentuan politik.

Ketua Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata langkah itu berupaya menghalang pembentukan rangkaian kroni serta mengecilkan hubungan terlalu rapat antara kepentingan perniagaan dan politik.
“Namun, kesan positif had tempoh jawatan tidak wajar dibesar-besarkan. Manfaat sebenar reformasi ini tidak akan tercapai sepenuhnya selagi undang-undang yang membenarkan penggunaan kuasa secara budi bicara dan sewenang-wenangnya masih wujud.
“Antara isu yang sering dibangkitkan ialah peranan peguam negara dan pendakwa raya, serta proses pelantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Proses dan amalan tadbir urus ini masih belum bebas sepenuhnya daripada pengaruh eksekutif dan perdana menteri,” katanya.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, pula menggesa langkah besar yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama dalam sistem Westminster mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri supaya disokong semua pihak, termasuk blok pembangkang.
Beliau turut yakin bahawa dengan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, tahap akauntabiliti perdana menteri dan Kabinet kepada Parlimen akan menjadi lebih kukuh.
“Langkah ini mengurangkan penyelewengan dan salah guna kuasa secara berperingkat, di samping membuka ruang kepada pemimpin muda untuk diketengahkan serta memupuk budaya politik yang lebih sihat,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.