Seni juga harus memberikan definisi seks sebagai indah dan positif bukan dengan cara gila atau gaya yang merendahkan maruah.

Baru-baru ini kecoh sebuah lagu nyanyian seorang penyanyi wanita muda dikatakan lucah dan tak senonoh. Rentetan daripada itu telah membuatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, terpanggil membuat kenyataan agar semua penggiat seni, penerbit dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Februari 2015. Lagu-lagu tak senonoh, lucah dan bercanggah dengan nilai dan adab masyarakat, khususnya memberi pengaruh negatif kepada generasi muda harus dielak. (Petikan daripada Bernama 1 Jan 2026)
Macam biasa, setiap kali sebuah lagu dituduh lucah, alasan dikemukakan oleh pembela-pembela ialah ‘itu tafsiran masing-masing’ dan ‘kalau kita bermentaliti kotor maka kotorlah pemahamannya’. Chewah! Senang aja nak menepis ya? Dengan meletakkan beban kesalahan kepada masyarakat kononnya khalayaklah yang gagal mengawal imaginasi sendiri, bukan salah karya. Itulah perisai paling selamat ketika karya menjadi kontroversi.
Bagi sesetengah karyawan, mereka berpendapat yang mereka harus diberikan lesen besar untuk berkreatif dengan bebas. Jika kepala masyarakat asyik mengingatkan perkara kotor, itu bukan salah mereka sendiri. Pulak! Tapi memang betul, tak dinafikan ada manusia yang kepalanya asyik melucah. Kalau manusia kepalanya kotor, lagu nasyid pun dilucahkannya. ‘Sepohon kayu daunnya rimbun’ pun boleh ditafsir lucah pada ‘kayu’, ‘rimbun’ dan ‘lebat buahnya’ itu. Penyakit kepala kotor memang begitu. Tetapi jika rangkap liriknya menyebut ‘masuk lagi, ah! ah! Dalam lagi, uh! uh!’, adakah anda yakin anda boleh berlepas diri daripada memikirkan ia bukan sebuah karya lucah?
Tak mengapa. Mungkin kepala kitalah yang kotor berfikir yang bukan-bukan. Tapi jika kita tengok lagi rangkap seterusnya ada ‘masuk jalan elok-elok sayang, mata hitamku seperti hilang’ dan mendengarkan pula gaya nyanyian penyanyinya menyampaikan lagu ini, selamatkah kita daripada tak berfikiran lucah? Sewaktu proses pembikinannya, tak adakah seorang pun berfikir yang ia tak senonoh? (meminjam istilah Jabatan Hal Ehwal Agama). Atau memang 100% tak terlintas langsung dalam pemikiran mereka yang karya mereka ‘bersih’, memang tak ada unsur lucah? Justeru, kotor sangatkah mentaliti masyarakat dan pihak kementerian sehingga menyalahtafsirkan lagu tersebut sebagai berunsur negatif sedangkan pada mata pengkarya dan penyampai lagu, itu hanya permainan bahasa metafora berseni semata-mata; sedikit pun tak lucah.
Hubaya-hubaya! Bahasa memang boleh dimainkan. Metafora dan kiasan memang alat yang bagus dalam karya seni. Tetapi ada bezanya antara kiasan yang lahir daripada keindahan bahasa dengan ayat yang direka untuk merangsang imaginasi seksual.
Lagu ‘Kita Insan Biasa’ duet Jay Jay dan Dayangku Intan pernah didebatkan suatu waktu dahulu kerana rangkap yang dinyanyikan oleh Dayang berbunyi ‘diriku mawar pudar warna, tiada lagi yang istimewa, dapat dipersembahkan, menjadi suatu lambang sucinya percintaan’. Kita difahamkan tentang seorang gadis yang sudah hilang perawannya (senonohkah kalau saya menulis gadis ini sudah tiada dara?). Ada pihak mungkin malu mendengar rangkap ini tetapi bagi saya, ia digarap indah. Dalam dunia realiti, situasi itu memang berlaku. Lirik tersebut mewakili perasaan gadis yang telah melalui pengalaman gelap pada masa lampau tetapi masih mahu meneruskan hidup, insaf dan mengharapkan kebahagiaan pada masa hadapan. Itu kisah yang cuba disampaikan dengan cara yang cukup berseni. Tetapi sama ada benar atau tidak maksudnya, hanya penulis lirik yang tahu. Mungkin penulis lirik hanya menggambarkan si wanita itu cuma merendah diri mengatakan dia tak sebaik mana. Mungkin sampai di situ sahaja. Dalam konteks itu, kita bolehlah kata ‘terserahlah pada tafsiran masing-masing’. Tetapi dalam kes lagu yang ada sebut ‘masuk lagi, ah! ah!’ ini, bukankah ia sengaja memerangkap kita ke imaginasi kotor?
Sebuah lagu nyanyian Zaleha Hamid dan Salleh Yaacob (lagu saduran nyanyian Ellin Tamaiya dari Indonesia) berjudul ‘Jagung Bakar’ juga pernah digam. Liriknya memang cukup mengganggu imaginasi. Cerita tentang jagung bakar yang ‘sedap dimakan’ apatah lagi ketika hujan. Ini kerana ia ada menyebut bentuk fizikal jagung yang membuat fikiran kita ‘konar’ ke arah lain.
Mahu yang panjang
Atau yang pendek
Terserah saja
Mahu yang besar atau yang kecil
Yang tua enak
yang muda asyik
Sekali lagi, dengan lenggok suara dan gaya nyanyian, siapa yang selamat daripada tidak berfantasi lucah?
Berbalik semula kepada lagu Kita Insan Biasa nyanyian Jay Jay dan Dayangku Intan yang saya nyatakan di atas tadi – ia membawa mesej keinsafan. Kisah sepasang kekasih yang akur dengan kesilapan silam dan ingin membetulkan masa hadapan. Tetapi, apakah sebuah lagu berniat nasihat dibolehkan untuk memasukkan adegan ‘hampir terlanjur’ sehingga boleh menimbulkan ghairah? Lagu Juwita oleh penyanyi Indonesia, Doel Sumbang yang diubah sedikit liriknya dan dinyanyikan semula oleh Herman Tino dengan judul baru Juwita (Hampir Khilaf) pada tahun 80-an turut digam RTM. Antara baris liriknya berbunyi begini:
‘Nyamuk-nyamuk yang nakal serta kecoak liar
Jadi saksi kita berdua
Kala kita bercumbu rayu di sudut kamar
Dalam keremangan lantera
Ku genggam tanganmu, ku remas jarimu
Ku cium bibirmu, Juwita
Perlahan matamu terpejam
Waktu aku bisikkan ajakan di telingamu
Kau menatap lalu mengangguk setuju
Malam larut dan dingin membuat kita gila
Hampir lupa akan segala-galanya’
Lirik ini mengundang ketawa kegelian ketika kami mendengarnya dahulu. Tetapi ia tak berhenti di situ. Rangkap seterusnya mengubah keadaan:-
‘Untung aku tersentak sadar serta mengucap
Astaghfirullah al-adzim
Engkau dara perawan, aku lelaki perjaka
Yang masihlah muda belia
Usiaku-usiamu baru akil-baligh
Dan kita bukan suami-isteri
Terlarang melakukan itu
Hampir saja mahkotaku dan mahkotamu hilang
Musnah hanya karena sebuah nafsu
Dan aku menghindar padahal aku yang mengajak
Maafkan dan usah kau kecewa’
Persoalan saya, bolehkah lagu sebegini? Kotorkah ia? Ia bercampur-baur. Mesejnya nasihat tetapi ada bahagian yang syok pula didengar. Secara peribadi, saya tak kisah dan boleh memahaminya. Cuma bukan apa, takut-takut nanti berderet pula lagu yang semacam ini keluar nanti sehingga karya semi-lucah atau ‘double meaning’ ini pula akan menjadi trend. Macam lagu cinta yang tajuknya nama-nama perempuan. Berderet-deret keluar lagu macam itu. Dari Fatimah sampailah ke Azura kemudian masuklah Rozana, Rasyidah, Syakila, Isabella dan langsunglah berterusan senarainya. Silap-silap samalah situasinya nanti bila satu lagu nasihat diselitkan adegan ‘beromen’, dikhuatiri akan berlambak pula nanti lagu ‘romen-nasihat’. Ahai!
Bagi saya, ia tidaklah bermakna seni perlu disterilkan. Bukan juga bermakna semua kiasan harus diharamkan. Takkanlah karya seniman asyik nak dipantau sahaja 24 jam oleh pihak berwajib. Letihlah! Tersekat jugalah kreativiti kalau itu tak boleh, ini tak boleh! Tetapi garis panduan itu perlu bagi saya.
Yang paling utama pengkarya kenalah pintar. Kena pandailah bermain kata. Ajarlah khalayak dengan cara yang tinggi sikit nilainya. Lainlah kalau si pengkarya memang sengaja menghasilkan karya kontroversi untuk mencari kemasyhuran. Tak syoklah berselindung di sebalik rungutan – kebebasan berkarya. Maksud kebebasan berkarya bukanlah bebas sewenang-wenangnya tanpa batasan tetapi haruslah disusuli dengan sifat kebertanggungjawaban. Atau, kalau nak kata ‘harus bertanggungjawab’ itu nampak ‘poyo’, sekurang-kurangnya buatlah dengan gaya ada ‘standard’. Bukanlah nampak macam murahan sangat. Tak ada ‘class’ langsung. Itulah maksud saya kena ada ‘standardlah’ sikit. Tetapi jika seseorang pengkarya itu bertegas dengan menyatakan ‘ya’, karyanya memang sengaja dibuat seksi dan kotor lalu dia bertanya apa yang salahnya; bagaimana pula patut kita jawab?
Seks tidak kotor. Ia kurniaan paling indah daripada tuhan. Fitrah semua makhluk perlukan seks. Manusia dari raja, ulama sampailah warga marhaen semuanya ada keinginan seks. Seks jadi mulia dan halal apabila lelaki dan perempuan berkahwin. Tak kiralah bangsa, kaum dan agama sekalipun – lumrah dan adatnya sudah begitu. Seks akan jadi haram bila dilakukan luar pernikahan kerana ia boleh mendatangkan banyak kemudaratan. Agama meletakkan seks satu tuntutan apabila ia dihalalkan melalui perkahwinan. Undang-undang sejagat meletakkan seks jadi satu kesalahan jenayah apabila sebelah pihak dizalimi. Seluruh manusia bertamadun dari Barat sampai ke Timur menolak seks paksaan dan skandal curang.
Makanya, seni juga harus memberikan definisi seks sebagai indah dan positif, bukannya dengan cara gila atau dengan gaya yang merendahkan maruah. Malu!
Takkan tak malu kalau anak kita tak kira lelaki atau perempuan yang masih belum baligh, tiba-tiba menari gelek depan kita dengan menyanyikan bait ‘masuk lagi, dalam lagi, ah! ah!’. Kena pula masa itu ada datuk dan neneknya sekali duduk di hadapan. Tak biru muka kita? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.