Ketua penerangan Bersatu itu kata Saifuddin langgar perlembagaan Bersatu apabila tidak menghormati atau menentang keputusan-keputusan parti.

Tun Faisal berkata Saifuddin melanggar perlembagaan Bersatu apabila tidak menghormati atau menentang keputusan-keputusan parti menyebabkan tindakan itu diambil ke atasnya.
“Dalam hal ini, Saifuddin sewajarnya sedar dan lebih memahami akibat kepada tindakannya apabila dia melakukan pelanggaran perlembagaan, peraturan dan keputusan-keputusan parti,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata Saifuddin telah dipanggil menghadap lembaga disiplin dan ruang tersebut sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk membela diri.
Katanya, setiap aduan yang dirujuk kepada lembaga disiplin biasanya dikepilkan bersama-sama bukti dan keterangan saksi.
“Apabila dipanggil oleh lembaga disiplin, itu adalah peluang untuk menyatakan kenapa seseorang itu tidak boleh dikenakan tindakan disiplin atas kesalahan yang dilakukan.
“Jika peluang itu dipersia-siakan, lembaga disiplin tetap akan membuat keputusan,” katanya.
Semalam, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengesahkan beliau dipecat keahlian daripada parti berkuatkuasa serta merta.
Menurut sepucuk surat Lembaga Disiplin Bersatu, beliau dipecat kerana tindakannya yang melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Bekas menteri itu sebelum ini dipanggil oleh lembaga disiplin susulan gesaannya supaya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Kenyataan beliau dibuat menerusi satu wawancara serta satu kenyataan bersama oleh beberapa ketua bahagian Bersatu.
Saifuddin mendakwa, Muhyiddin telah ‘kehilangan kualiti kepimpinan’ dan menggesa peletakan jawatan tokoh kanan parti termasuk Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau juga menggesa Muhyiddin menjelaskan sama ada menantunya, ahli perniagaan dalam buruan Adlan Berhan, benar-benar melarikan diri ke luar negara, susulan gambar Adlan yang didakwa hidup mewah di luar negara.
Saifuddin juga digugurkan daripada jawatannya sebagai ketua PN Pahang.
Bersatu pada Oktober tahun lalu turut memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.