Perjuangan mempertahankan kedaulatan, sumber, dan maruah masih jauh daripada berakhir.

Ada sebuah buku yang sudah melampaui lima dekad, karya Eduardo Galeano, seorang wartawan, sasterawan dan sarjana Amerika Latin dengan judul The Open Veins of Latin America. Ia adalah sebuah buku mengenai antiimperalisme yang menurut saya adalah teks politik paling berpengaruh yang pernah lahir dari Selatan.
Ia malah diterbitkan sebelum saya lahir, pada tahun 1971. The Open Veins of Latin America, kembali mendapat perhatian pada tahun 2009 apabila presiden Venezuela ketika itu, mendiang Hugo Chávez, menghadiahkan sebuah naskhah berbahasa Sepanyol buku ini kepada presiden Amerika Syarikat sewaktu itu, Barack Obama, di Sidang Kemuncak Amerika yang kelima.
Ia adalah satu hadiah atau sebetulnya perutusan diplomatik secara simbolik bukan sahaja untuk menghidupkan kembali nyawa karya tersebut ke pentas dunia, tetapi lebih penting ialah memperkenalkan semula dakwaan Galeano terhadap imperialisme, kapitalisme, dan keterbelakangan struktural untuk generasi audien baru.
Memang Galeano menukilkan buku ini tatkala era sejuknya era Perang Dingin, di masa ketika Amerika Latin sedang bergolak hebat. Ia bermula dengan kemenangan demokratik, Presiden Salvador Allende di Chile yang mendadak membuatkan Washington cemas-cungap, kerana ia dilihat sebagai ancaman gerakan kiri di rantau Latin. Tentu Washington tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang kebangkitan kiri di ‘halaman belakang’ rumahnya. Maka apa yang dilakukan Washington?
Campur tangan politik di Latina, yang mana kudeta demi kudeta menyusul, bermula di Chile, Uruguay, Argentina membawa kepada hari-hari autoritarianisme yang saban detik penuh dengan penyeksaan, kehilangan paksa, sensor, dan pembuangan besar-besaran. Galeano sendiri, pengarang buku ini dipenjarakan di Uruguay selepas kudeta 1973. Beliau kemudian melarikan diri dari Argentina apabila namanya disenaraipendek dalam senarai maut oleh tentera. Pelarian membawa beliau ke Sepanyol.
Buku ini The Open Veins ditulis dalam keadaan letih, lesu, terdera, terlindas, penyudutan, dan keganasan politik yang mencorakkan mercu tanda sastera Amerika Latin ketika itu. Buku ini bahkan terlarang di bawah beberapa rejim diktator tentera.
Apakah hujah besar Galeano dalam buku ini?
Galeano menolak tanggapan bahawa Amerika Latin papa miskin kerana tewas dalam persaingan ekonomi secara global. Sebaliknya, Galeano dengan penuh yakin, dan sasterawi berhujah bahawa selama lebih lima abad, Amerika Latin tidak mengenal kemerdekaan dan berfungsi sebagai kawah takungan sumber bagi ‘metropoli imperium’ bersilih ganti, dari Madrid ke Lisbon, kemudian Paris dan London, dan mutakhir sekali akhirnya Washington.
Sumber dari perak dan emas hingga gula, getah, minyak, dan galian, semua jenis kekayaan Amerika Latin dipunggah, disedut, dirampas dan dijarah secara sistematik bagi menggerakkan pembangunan Eropah dan Amerika Syarikat. Amerika di utara tidak semewah Latina, menampung logam berharga, tenaga buruh pribumi yang murah, dan tidak pula berteras ekonomi tani. Pendek kata ‘keterbelakangan’ Amerika Latin, menurut Galeano, bukan kebetulan, tetapi adalah satu perencanaan tersusun yang jahat, sengaja dihasilkan secara struktural, dan merupakan bahagian gelap yang tersembunyi di balik kapitalisme global.
Membaca The Open Veins of Latin America memang sedap, seumpama membaca karya Gabriel Garcia Marquez, One Hundred Years of Solitude, bahkan karya Galeano ini dianggap nafas baharu kerana memperkenalkan gaya yang digelar ‘kewartawanan magis’. Ramuannya, The Open Veins mengincah resipi sejarah, laporan, puisi, dan wacana provokatif. Ia mempertikaikan kita kerana mempunyai ketergamakan moral menatap mereka di Latina yang kalah oleh sejarah, dihimpit keganasan kolonial, perhambaan, eksploitasi, dan kemelaratan.
Walaupun Galeano kemudian-kemudian ada mengakui bahawa buku ini kurang memberi ruang kepada faktor dalaman seperti kelemahan institusi dan rasuah, beliau tidak pernah menarik balik premis fondasinya.
Teks ini masih menjadi rujukan fundamental kaum kiri Amerika Latin dan kini mengalami sentuhan baru dalam arus kritikan terhadap imperialisme Amerika Syarikat, khusus ekoran penculikan Presiden Nicolas Maduro, dan isterinya. Masih, poin yang diperkenal dalam buku ini relevan dengan geopolitik semasa, khususnya berkenaan Venezuela. Maka apabila Chávez menghadiahkan kepada Obama buku ini pada tahun 2009, ia melambangkan sebutir harapan, yang segera dicicirkan. Ini kerana pada tahun 2015, pentadbiran Obama mengisytiharkan Venezuela sebagai ‘ancaman luar biasa dan tidak lazim’ terhadap keselamatan negara Amerika Syarikat.
Ya, Obama yang memulainya, bukan Trump.
Betul, Obama yang membuka jalan kepada sekatan yang melumpuhkan Latina, khusus dalam konteks ini Venezuela. Rumah Putih malah terus menerus mengganda tekanan ekonomi, diplomatik, dan ketenteraan, sehingga mencapai apa yang oleh ramai pengkritik politik antarabangsa katakan sebagai fasa baharu campur tangan terbuka. Obama melakukannya agar Venezuela tersungkur dan melutut.
Akan tetapi setelah ketiadaan Chavez, juga Obama; landskap geopolitik turut beralih. Amerika Syarikat baik dengan Trump dan Biden, mengalihkan tumpuannya ke Timur Tengah, serta-merta China muncul sebagai pemain ekonomi utama di Amerika Latin, meluaskan perdagangan dan pelaburan secara mendadak. Perdagangan China di Latina meningkat lebih empat puluh kali ganda antara tahun 2000 hingga 2024. Bagi negara Amerika Latin, Beijing tampil sebagai rakan alternatif yang mengenakan syarat ideologi yang lebih longgar berbanding Washington.
Ia berlaku juga di rantau kita, Asia Tenggara. Pelonggaran dominasi Amerika Syarikat ini serentak terjadi dengan apa yang dinamai ‘gelombang merah jambu’, iaitu kerajaan-kerajaan berhaluan kiri di seluruh Latina mengejar kerjasama serantau dan autonomi dasar yang lebih besar.
Perbuatan Trump tahun baharu lalu, melanggar Caracas dan menculik presiden Venezuela tanpa segan silu membawa kita ke simpang terawal, iaitu kembalinya pola lama. Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat yang diperbaharui terhadap Venezuela, ugutan perubahan rejim, dan tuntutan terbuka terhadap minyak serta galian strategik Venezuela mengesahkan kembali dinamika yang dicatat Galeano beberapa dekad lalu.
Harta Venezuela yang melimpah-ruah seperti minyak (pengeluar nombor satu di dunia), gas, emas, dan mineral kritikal telah sekali lagi menjadi sasaran kepentingan luar yang sengit. Demi meraih kejayaan retorik ‘Bikin Amerika Hebat Kembali’, atau ‘Keunggulan Semula Amerika Syarikat di Hemisfera Barat’, slogan-slogan empayar ini digemakan semula dan kini diperhebat dengan cara ia dibingkaikan dalam persaingan strategik dengan China.
Hari ini jika kita membaca The Open Veins secara historis, bukan secara dogmatik, kita akan mendapati buku ini kekal penting untuk memahami bagaimana Amerika Latin menafsirkan peristiwa-peristiwa ini. Yakni bukan sebagai krisis terpisah, tetapi sebagai sambungan kepada sejarah panjang penjarahan, campur tangan, dan dominasi luar. Dan jika kita menghubungkannya dengan diri kita, maka kita akan mendapati inilah yang berlaku di Gaza, Palestina; di Sudan dan Congo, dan mengapa Iran, Korea Utara dan Colombia melawan.
Jika ia boleh berlaku di Caracas, ia boleh berlaku di Putrajaya. Ia mungkin lebih mudah terjadi di sini kerana pertahanan kita senipis parti ‘yeye’, dan sempadan kita boleh ditembusi Mossad.
Galeano mungkin telah tiada untuk mengungkapkan insiden terbaru ini, namun ‘urat luka yang menganga’ Latina yang digambarkannya masa lampau tetap menjadi metafora yang berkesan bagi masa lalu, dan masa kini Amerika Latin, mengingatkan bahawa perjuangan mempertahankan kedaulatan, sumber, dan maruah masih jauh daripada berakhir.
Sialnya, kita tidak pernah belajar. Suka atau tidak, dalam bahasa lain, Galeano mengesahkan apa yang pernah disebut oleh Imam Khomeini, pendiri Republik Islam Iran, yang setan sebenar adalah Amerika. Tetapi ya, kita terhegeh-hegeh menari dengannya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.