`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, January 9, 2026

MAIPs salur bantuan persekolahan RM8.44 juta untuk pelajar asnaf

Bantuan itu manifestasi keprihatinan MAIPs dalam usaha bantu ringankan bebanan kos persekolahan yang semakin meningkat.

Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga kanan) berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan Bantuan Persekolah 2026 sumbangan MAIPs di perkarangan Kompleks Islam, JAIPs, Kangar. (Gambar MAIPs)
PETALING JAYA:
 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM8.44 juta yang memberi manfaat kepada12,057 pelajar asnaf di negeri itu.

MAIPs dalam kenyataan berkata, simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di perkarangan Kompleks Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Kangar baru-baru ini.

Mengiringi Baginda Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Mohd Nazim berkata bantuan itu adalah manifestasi keprihatinan berterusan MAIPs terhadap kebajikan pendidikan golongan asnaf, dalam usaha membantu meringankan bebanan kos persekolahan yang semakin meningkat.

Jelas beliau daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM3,207,400 diperuntukkan kepada pelajar sekolah menengah, manakala RM5,232,500 disalurkan kepada pelajar sekolah rendah. Setiap penerima menerima bantuan berjumlah RM700 seorang.

“Secara terperinci, setiap pelajar menerima RM300 bagi sumbangan pakaian, alat tulis, dan kelengkapan sekolah, serta RM300 untuk aktiviti kecemerlangan pendidikan, dan pembangunan sahsiah, serta RM100 sebagai sumbangan tunai.

“Pendekatan agihan berstruktur ini bertujuan memastikan keperluan asas persekolahan, pembangunan potensi akademik serta pembentukan sahsiah pelajar asnaf dapat diperkukuh secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, berdasarkan kadar agihan tersebut, seramai 4,582 pelajar sekolah menengah dan 7,475 pelajar sekolah rendah menerima manfaat, menjadikan keseluruhan 12,057 orang pelajar asnaf menerima bantuan persekolahan MAIPs pada 2026.

“MAIPs optimis bahawa usaha ini akan terus memperkukuh agenda pendidikan di Perlis, sekali gus memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak asnaf terus terbela serta tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan,” katanya.

Menurutnya, bantuan ini disalurkan hasil kerjasama strategik antara MAIPs dan Jabatan Pendidikan Negeri melibatkan pengurusan sekolah di seluruh Perlis yang telah mengemukakan cadangan penerima bantuan diperolehi yang disahkan.

Katanya, dalam usaha memperkemaskan pelaksanaan agihan, MAIPs turut melantik Guru Muraqib Amil bagi membantu mengenal pasti pelajar asnaf yang layak menerima bantuan, sekali gus memastikan kebajikan golongan sasar dapat disantuni secara lebih berkesan dan menyeluruh. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.