Abang kepada Nazrin Hassan kata pihak keluarga hanya mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi.

Abangnya, Dr Malek Hassan, berkata pihak keluarga akur dengan keputusan mahkamah mengekalkan pembebasan balu Nazrin, Samirah Muzaffar, serta dua lagi individu daripada pertuduhan bunuh, namun terhinggap persoalan tentang apa yang terjadi lapan tahun lalu.
“Perasaan kami bercampur-baur. Kakak saya sangat berduka kerana hubungan mereka sangat rapat. Dia hanya mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi, bukan siapa pelakunya,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasan Samirah dan dua lagi individu daripada pertuduhan membunuh Nazrin, selepas sidang tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan mahkamah bawahan yang melepas dan membebaskan mereka.
Hakim Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan, berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam alasan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada 13 Feb 2024, selepas Mahkamah Rayuan, pada 8 Feb tahun sama, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Samirah, 51, serta dua remaja masing-masing kini berusia 20 dan 23.
Ketiga-tiga mereka dan seorang wanita rakyat Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi hari berikutnya.
Malek berkata beliau secara peribadi menerima perkembangan itu sebagai tadkir Tuhan, namun pihak keluarga masih bersedih.
“Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap menghina mahkamah. Kami terima keputusan tersebut, cuma sebagai keluarga, kami tetap mengharapkan keadilan untuk arwah adik kami.”
Samirah dan dua individu tersebut diwakili oleh Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan selaku peguam, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asnawi Abu Hanipah dan Amril Johari. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.