`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, January 7, 2026

Mayat nelayan hilang di Batu Pahat ditemui di Indonesia

Mayat Mohd Fazli Misran ditemukan pasukan penyelamat Indonesia kira-kira tujuh batu nautika dari timur laut Pulau Bengkalis.

Maritim Malaysia menyerahkan mayat nelayan Mohd Fazli Misran kepada polis untuk urusan selanjutnya selepas mangsa ditemui di perairan berhampiran Pulau Bengkalis, Indonesia. (Gambar Maritim Malaysia)
BATU PAHAT:
 Nelayan kedua yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Batu Pahat Sabtu lepas ditemukan lemas pagi tadi berhampiran Pulau Bengkalis, Indonesia.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Mohamad Zaini Zainal berkata mayat Mohd Fazli Misran, 41, ditemukan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada 9 pagi, kira-kira tujuh batu nautika timur laut Pulau Bengkalis.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Zaini berkata susulan itu, operasi mencari dan menyelamat dua nelayan berkenaan ditamatkan selepas mangsa kedua berjaya dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata proses pengecaman fizikal mayat telah dilakukan dan sampel padanan DNA mangsa dengan waris terdekat akan diambil untuk pengesahan identiti secara rasmi.

Beliau berkata ia susulan pengecaman mayat oleh isteri mangsa di HSNI hanya mengenal pasti pakaian mangsa, tetapi tidak dapat mengesahkan melalui pengecaman fizikal mayat.

“Proses bedah siasat akan dijalankan esok,” katanya.

Fazli dan rakannya Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, dilaporkan hilang setelah mereka keluar untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800m dari Jeti Sungai Tongkang, Jumaat lepas.

Mayat Saiful Azli dijumpai seorang nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada 6 Jan di perairan Sarang Burung, di sini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.