`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, January 7, 2026

Pemecatan Saifuddin bercanggah prinsip perlembagaan parti, kata pemimpin Bersatu

Pemecatan ahli MPT itu tanpa ikut proses sah boleh memalukan parti, timbul isu salah guna kuasa, kata Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Khaliq Mehtab Ishaq
Ketua Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, beliau bangkit isu pemecatan Saifuddin Abdullah daripada Bersatu untuk ‘pertahan perlembagaan, proses dan integriti parti’.
PETALING JAYA:
 Keputusan Bersatu memecat Saifuddin Abdullah, yang didakwa dibuat tanpa persidangan rasmi Lembaga Disiplin, bertentangan dengan semangat dan prinsip perlembagaan parti, kata seorang ketua bahagian Bersatu.

Ketua Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, pelanggaran proses yang sah bukanlah isu teknikal kecil, sebaliknya berkait keabsahan keputusan.

“Setelah meneliti fakta yang ada, adalah jelas bahawa keputusan pemecatan tersebut dibuat tanpa suatu persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD).

“Hakikat ini tidak boleh diselindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan.

Khaliq menegaskan, beliau membangkitkan isu ini bukan untuk mempertahankan mana-mana individu, sebaliknya ‘mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti’.

“Lebih mendukacitakan … kecacatan proses ini cuba ditutup dengan naratif ‘disiplin’, ‘tanggungjawab kolektif’ dan ‘ketegasan parti’, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara.

“Ini bukan budaya parti yang berperlembagaan, ini budaya arahan tanpa semak imbang,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini Saifuddin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipecat berkuat kuasa semalam, didakwa kerana melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti.

Saifuddin diberikan tempoh 14 hari untuk membuat rayuan dan beliau memberitahu FMT semalam bahawa beliau akan merayu keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Khaliq hari ini berkata, sekiranya proses yang sah tidak diikuti dalam membuat keputusan parti, ‘keputusan itu rapuh, mudah dicabar dan memalukan parti sendiri’.

“Apabila proses dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan, tetapi penyalahgunaan kuasa,” katanya.

“Jika hari ini seorang ahli MPT boleh dipecat tanpa persidangan Lembaga Disiplin, esok sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.

“Parti yang membenarkan perkara ini, sedang mengajar ahlinya bahawa perlembagaan boleh diketepikan apabila tidak selari dengan kehendak kuasa.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.