Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata langkah Hamzah Zainudin itu berpaksikan kepentingan negara, bukan cita-cita menjadi presiden parti atau perdana menteri.

Beliau berkata Hamzah tidak pernah memasang impian menjadi presiden parti atau perdana menteri, meskipun latar belakangnya sebagai bekas kapten ragbi, ketua syarikat korporat dan menteri kanan kerajaan.
Saifudin mengaitkan pendirian Hamzah itu dengan hadis Rasulullah SAW yang melarang meminta-minta jawatan, kecuali dalam keadaan tertentu demi kemaslahatan umum.

Beliau juga membuat perbandingan dengan merujuk kisah Nabi Yusuf yang menawarkan diri mengurus perbendaharaan negara kerana kemampuan dan integriti baginda dalam menghadapi krisis.
“Nabi Yusuf menawarkan diri untuk jawatan bukan kerana tamak kuasa, tetapi kemaslahatan rakyat dan kestabilan negara.
Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu dipecat pada 13 Feb lalu selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.
Beliau dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana didakwa menjadi dalang mencetuskan kekecohan pada perhimpunan parti, September lalu selain tidak menghalang kenyataan memburukkan Presiden Muhyiddin Yassin.
Dalam perhimpunan sehari kemudiannya, selain mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Muhyiddin, Ahli Parlimen Larut itu turut mengumumkan gerakan ‘reset’ untuk membina semula negara dengan menyeru ‘sahabat’ beliau menyokong perjuangannya.
Hamzah turut mendakwa disokong 18 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu termasuk Saifuddin yang dipecat Bersatu, bulan lalu.
Menurut Saifuddin, langkah Hamzah meninggalkan ‘rumah lama yang reput’ untuk membina ‘rumah baharu lebih kukuh’ bukan usaha kelangsungan politik peribadi, sebaliknya langkah strategik membentuk konfigurasi politik lebih matang dan stabil.
Katanya, gerakan reset itu bertujuan membina konsensus nasional baharu yang benar-benar menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan wilayah, selain menuntut pembaharuan institusi, sistem dan undang-undang.
Jelasnya, langkah itu juga usaha pembinaan bangsa meliputi pelbagai bidang yang manfaatnya kepada rakyat.
“Ia melibatkan usaha membaiki perkhidmatan kerajaan, membesarkan ekonomi, mengagihkan kekayaan negara secara adil dan memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.