Persatuan Perubatan Malaysia kata aktiviti penguatkuasaan perlu diperkukuhkan secara strategik.

Presiden Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata aktiviti penguatkuasaan perlu diperkukuhkan secara strategik, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi pekerja migran, memandangkan komuniti rentan sering menjadi sasaran.
“Ini bukan mengenai mana-mana kumpulan tertentu, sebaliknya mengenai melindungi individu yang mungkin diambil kesempatan akibat kekangan seperti kos, bahasa atau kekurangan kesedaran mengenai sistem penjagaan kesihatan.
“Kerjasama tegas antara agensi, pemeriksaan berkala serta hukuman tegas adalah perlu bagi membendung aktiviti berbahaya seperti ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Media melaporkan imigresen menyerbu sembilan klinik haram di Jalan Tun Tan Siew Sin, Kuala Lumpur minggu lalu, dengan sebahagiannya kembali beroperasi selepas tindakan penguatkuasaan terdahulu.
Menurut laporan itu, seramai 18 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen, manakala Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan mengikut Akta Jualan Dadah.
MMA berkata penemuan terbaru klinik haram itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan pesakit dan pengawasan kawal selia.
Thirunavukarasu menerangkan amalan perubatan dikawal selia secara ketat bagi melindungi orang awam, dan hanya doktor berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia serta memegang Perakuan Amalan Tahunan dibenarkan beroperasi.
“Pesakit berisiko menerima salah diagnosis, rawatan tidak sesuai, komplikasi akibat prosedur tidak selamat, dan terdedah kepada ubat tiruan atau ubat yang didispens secara tidak wajar,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.