Tumpuan diberi pada aspek penilaian pembelajaran, peperiksaan dan pemantauan kualiti melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah persendirian Cina.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata tumpuan diberikan pada aspek penilaian pembelajaran, peperiksaan dan pemantauan kualiti yang melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah persendirian Cina.
Beberapa siri perbincangan diadakan termasuk pertemuan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat serta wakil sekolah antarabangsa.
“Dalam pertemuan tersebut, KPM membincangkan mengenai ketetapan untuk pelajar di sekolah yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan menduduki bahasa Melayu dan sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“KPM akan memaklumkan mengenai keputusan rasmi perkara yang dibangkitkan bersama semua pihak yang terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi KPT di Dewan Rakyat.
Bagi KPT, Zambry berkata sesi libat urus diadakan pada 4 Feb lepas antaranya bersama persatuan sekolah antarabangsa Malaysia, jawatankuasa pendidikan daripada Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), Help International Schools Group dan Sunway International Schools serta Taylor’s Education Group.
Menerusi sesi itu, beliau berkata sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina memaklumkan telah menyediakan laluan peperiksaan SPM bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“Lebih 87% pelajar sekolah persendirian Cina mengambil peperiksaan SPM,” katanya.
Berhubung perubahan struktur program matrikulasi dan Tingkatan 6, KPT dan KPM sedang melihat urusan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.
Zambry berkata jawatankuasa pemandu bersama antara KPT dan KPM ditubuhkan pada 19 Dis lepas untuk menilai semua aspek berkaitan termasuk pengoptimuman sumber sedia ada bagi kedua-dua program tersebut.
KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau Tingkatan 6 dan matrikulasi bermula tahun depan. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.